IKAN patin masak tempoyak.
IKAN patin masak tempoyak.
SAMBAL udang petai.
SAMBAL udang petai.
IRWAN menunjukkan beberapa hidangan yang menjadi
IRWAN menunjukkan beberapa hidangan yang menjadi
Nor Hanisah Kamaruzaman

Sajian yang disediakan terasa seperti makanan yang disediakan di rumah. Gabungan rekaan rumah tradisional dan moden pula menambah selesa pengunjung.

Mula beroperasi sejak setahun lalu, Restoran Hidang menawarkan sajian tradisional asli yang mengutamakan kualiti dan resipi yang ditampilkan sesuai bagi penggemar lauk kampung.

Pemilik bersama Restoran Hidang, Irwan Zulkifli, 34, berkata restoran berkenaan bukan saja mengetengahkan lauk kampung kegemaran ramai malah mementingkan konsep makanan selesa seperti masakan ibu atau dimasak sendiri di rumah.

“Semua perasa cukup sempurna dan campuran rempah yang pekat pasti membuat pengunjung terlupa seketika segala kesibukan kerja dek asyik menikmati makanan lazat seakan-akan masakan ibu.

“Barisan cef kami antara pakar masakan Melayu asli dan bahan yang digunakan berkualiti.

“Ini kerana bahan berkualiti antara ‘rahsia’ kami untuk menghasilkan makanan yang enak dan lazat,” katanya.

Senarai menu yang ditawarkan juga makanan yang tidak asing termasuk ikan patin masak tempoyak, sambal udang petai dan asam pedas.

Menurut Irwan, ikan patin masak tempoyak antara menu tumpuan kerana rasanya bukan saja tidak hanyir malah segar dan manis di samping kuah tempoyak yang disediakan mempunyai rasa seimbang.

“Ikan patin ini kami beli dari Temerloh, Pahang kerana kualiti ikannya antara yang terbaik dan ia menjadi keutamaan untuk menghidangkan makanan kepada pengunjung,” katanya.

Irwan berkata, kari kepala ikan yang dihidangkan juga tidak mengecewakan kerana campuran rempah yang bertepatan turut menjadi antara menu pilihan kegemaran ramai.

“Resipi kari berbeza-beza namun untuk menghasilkan kari kepala ikan perlu campuran yang istimewa dan rasa kari lebih kuat serta pekat berbanding kari lain.

“Jadi di sini kami turut mengikut resipi yang bertepatan dan bersesuaian serta kebiasaannya pinggan pasti licin apabila pelanggan memesan hidangan ini,” katanya.

Antara menu lain yang menjadi tumpuan adalah minuman panas kopi durian yang menggabungkan rasa kopi asli dan durian dalam satu cawan sama.

Mungkin pada mulanya ia kedengaran seperti gabungan yang pelik namun, pertama kali mencuba minuman itu anda pasti ‘ketagih’ kerana campuran kopi dan durian sangat serasi.

Ulam-ulaman, sambal belacan dan ikan masin turut disediakan sebagai hidangan sampingan bersesuaian dengan pelbagai lauk kampung yang dihidang bersama nasi putih.

Bagi melengkapkan pengalaman bersantap di Restoran Hidangan, pencuci mulut tradisional seperti sagu gula melaka yang dihidang bersama santan pasti tidak mengecewakan.

Restoran Hidang di Mitsui Outlet Park (MOP) Sepang, Selangor dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 10:52 AM