ROMBONGAN sempat menghasilkan kosmetik sendiri di SkyLake.
ROMBONGAN sempat menghasilkan kosmetik sendiri di SkyLake.
RONA merah jambu terang menarik perhatian.
RONA merah jambu terang menarik perhatian.
V-TRAIN inisiatif membangunkan ekonomi setempat.
V-TRAIN inisiatif membangunkan ekonomi setempat.
Aniza Zainudin


Merasai pengalaman menaiki V-Train antara aktiviti tersenarai dalam perancangan perjalanan disediakan KTO dan Air Asia X, membuatkan penulis tertanya-tanya keistimewaan kereta api yang ingin dipromosikan di wilayah Gyeongsangbuk dan Gangwon itu.

Usai bersarapan di Andong Grand Hotel, rombongan kami mula bergerak menuju ke Yeongju yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Andong untuk menaiki V-Train kelolaan KORAIL dijadualkan bertolak pada jam 8.50 pagi.

Stesen Yeongju antara stesen utama yang membolehkan penumpang menaiki V-Train menuju ke pekan Cheoram manakala O-Train pula bagi perjalanan ke Seoul yang memakan masa lebih enam jam.

Tiba di platform bernombor 4, penulis terpegun melihat gerabak kereta api yang berwarna merah jambu terang, cermin tingkap yang besar malah rekaan luar tampak klasik berbingkaikan kayu.

Apabila siren dibunyikan, kami antara kumpulan pengunjung terawal menaiki V-Train sekali gus membolehkan kami duduk di mana-mana kerusi bagi menatapi panorama semula jadi di luar kereta api.

Dekorasi kereta api tiga gerabak yang memulakan operasi sejak 12 April 2013 itu mengembalikan memori zaman lalu dengan aksesori klasik retro terutama kerusi, kipas angin, lampu malah pemanas badan.

Siling gerabak pula berlatarbelakangkan warna biru lembut dengan motif bintang, bulan, kepingan salji menambahkan lagi kecomelan kereta api yang mempunyai muatan penuh 158 penumpang itu.

Kerusi ala bas mini berona hijau dan biru berbingkaikan besi berwarna oren berjaya menghidupkan keceriaan dalaman kereta api V-Train.

Ada dua jenis susunan tempat duduk iaitu menghadap tingkap kereta api atau menghala ke hadapan. Selalunya, tempat duduk menghadap tingkap menjadi ‘hot seat’ buat penumpang. Kedudukan ini menjadi bonus apabila ia menyajikan penumpang pemandangan alam semula jadi indah termasuk sungai, air terjun, gunung, kawasan ladang dan perkampungan terpencil.

Tingkap yang besar dan berfungsi secara tolakan ke bawah memberi peluang kepada penumpang untuk menikmati udara dingin yang segar terhasil daripada lembah pergunungan tersembunyi, Gangwon dan Gyeongsangbuk.

V-Train merujuk kepada laluan perjalanan kereta api yang merentasi lembah (valley) curam melalui kawasan pergunungan Baekdudaegan dan Sungai Nakdong berulang-alik dari stesen Yeongju ke stesen Cheoram.

Memasuki lebih 20 terowong sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih dua jam ini, penulis menyedari fungsi dekorasi indah di siling kereta api.

Keadaan berubah gelap apabila memasuki terowong, rekaan salji, bintang dan bulan pada siling itu menyinarkan cahaya sekali gus menimbulkan ‘mood’ romantis. Ia antara inisiatif bijak yang dilakukan pengelola V-Train untuk menimbulkan rasa istimewa bagi penumbang kereta api yang lebih dikenali sebagai kereta api Baekdudaegan Canyon itu.

Apabila tiba di Stesen Buncheon, hentian utama pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki V-Train, kereta api berhenti selama 30 minit untuk mengambil penumpang. Ini membuka ruang kepada kami merakam gambar menarik apabila pelbagai dekorasi landskap dibangunkan di kawasan berkenaan termasuk replika gerabak kereta api, bangunan kincir angin, kenderaan Santa Claus, iglu dan beberapa lagi struktur yang unik.

Stesen Buncheon sebenarnya laluan kereta api yang pertama dibuka pada 1955 dan ia berfungsi sepenuhnya bagi pengangkut arang batu yang menjadi satu-satu sumber bahan asli Korea Selatan sebelum industri berkenaan diperlahankan.

Oleh kerana kawasan pergunungan Gangwon dan Gyeongsangbuk terpencil maka status ekonomi tidak terlalu memberangsangkan, justeru inisiatif memperkenalkan kereta api persiaran V-Train. Malah ia dilihat antara usaha kerajaan untuk meningkatkan industri pelancongan di kawasan Buncheon dan Cheoram.

Berhenti di beberapa stesen kecil seperti stesen Yangwon dan Seungbu selama 10 minit, pelancong mengambil gambar kenangan selain menikmati makanan jalanan panas yang diusahakan penduduk tempatan di stesen berkenaan.

Berada di perhentian terakhir, Cheoram, penulis tidak melepaskan peluang untuk meninjau tarikan di pekan terpencil yang masih aktif dengan aktiviti perlombongan arang batu itu. Replika ‘kenderaan’ melombong arang batu dan patung lelaki menyerupai pelombong menghiasi laluan berdekatan sungai, sekali gus membangkitkan situasi dialami pekerja buruh di kawasan berkenaan.

Memegang pepatah lama, ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’, penulis kagum dengan inisiatif diusahakan pihak pentadbir negara yang terkenal dengan rangkaian inovasi kosmetik ini.

Menyedari kekurangan dan kesulitan dialami penduduk di segelintir kawasan terpencil, mereka datang dengan idea baru. Menyuntik inovasi daripada sumber sedia ada, iaitu gerabak kereta api lama, untuk mencipta dan meningkatkan taraf ekonomi tempatan menerusi sektor pelancongan memandangkan sumber bahan asli mereka terhad. Mungkin ia pengajaran yang kita boleh pelajari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:02 AM