Kesha tidak menerima sebarang maklum balas daripada Prince. FOTO DAILY MAIL
Kesha tidak menerima sebarang maklum balas daripada Prince. FOTO DAILY MAIL
Susunan Oleh Michelle Gun


Los Angeles: Penyanyi Kesha, 29, mendedahkan pernah pecah masuk kediaman Prince semata-mata mahu memberi lagu demo kepada pemuzik lagenda itu.

Menceritakan pengalaman itu, Kesha atau nama sebenarnya Kesha Rose Sebert berkata bukan sukar memasuki kediaman Prince kerana pintu depan rumah tidak berkunci.

"Saya masih ingat memandu kereta milik datuk ke rumah Prince. Kemudian, saya menghulurkan lima dolar kepada tukang kebun agar membenarkan saya mencuri masuk ke dalam rumah penyanyi itu.

"Disebabkan pintu depan tidak berkunci, saya terus masuk ke dalam dan terpegun melihat hiasan dalaman berwarna baldu ungu," katanya di program berbual bicara Tonight Show.

Menurut Huffington Post, penyanyi Tik Tok itu berkata sebaik keluar dari lif, dia mendapati Prince bermain gitar.

"Walaupun sangat teuja, saya sempat menghubungi ibu untuk memberitahu saya pecah masuk dalam rumah Prince," katanya.

Sebaik berdepan dengan Prince, Kesha segera meletakkan cakera padat demo di atas meja dan terus beredar.

"Prince memandang saya dengan pelik dan saya menunjukkan kepada dia cakera padat yang dibawa. Saya letak cakera padat itu di atas meja dan terus berlari keluar," katanya.

Bagaimanapun, Kesha tidak menerima sebarang maklum balas daripada penyanyi dan pencipta lagu berkenaan.

Prince meninggal dunia semalam selepas ditemui tidak sedar diri dalam lif kediamannya di Minnesota, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 6:58 PM