ANTARA barang rampasan yang ditemui polis. FOTO ihsan Polis
ANTARA barang rampasan yang ditemui polis. FOTO ihsan Polis
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Penjenayah yang terbabit dalam kes samun bersenjata ditahan polis malam tadi di Kampung Baru Hicom, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan pada 9.30 malam di dalam reban ayam di kampung berkenaan.

Sebelum itu katanya, suspek bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas menyamun pelanggan hotel bajet di kampung berkenaan kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000 membabitkan wang tunai RM1,500, dua unit telefon bimbit, alat pengecas mudah alih (power bank) dan lain-lain.

"Susulan laporan yang diterima, polis melakukan operasi dan menemui suspek di kampung itu.

"Pemeriksaan ke atas suspek menemui telefon bimbit, power bank dan parang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 27 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Shafien berkata, polis kini mencari rakan suspek dikenali Minyak bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 2:39 PM