ANTARA barang yang berjaya dirampas dalam kes pecah rumah. Gambar kecil, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat menunjukkan passport palsu dan kad identiti warganegara Columbia yang dicari oleh pihak polis. FOTO Roslin Mat Tahir
ANTARA barang yang berjaya dirampas dalam kes pecah rumah. Gambar kecil, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat menunjukkan passport palsu dan kad identiti warganegara Columbia yang dicari oleh pihak polis. FOTO Roslin Mat Tahir
Fuad Hadinata Yaacob


DUA penjenayah Geng Latin diburu polis berhubung beberapa kes pecah rumah di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek dikenali German Alberto dari Columbia bersama rakannya yang tidak dikenali masing-masing berusia 20-an, dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah pecah rumah di daerah itu serta beberapa daerah lain.

Beliau berkata, identiti suspek dikenal pasti susulan kedua-duanya terbabit dalam kes cubaan pecah rumah di Seksyen 13, Shah Alam pada 6 Oktober lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian 7.15 petang itu, kedua-dua suspek mengumpil pintu sebuah rumah sebelum disedari pemiliknya yang kemudian menghubungi polis.

Menurutnya, anggota peronda bergegas ke lokasi dan menemui suspek yang kemudian melarikan diri.

"Suspek menaiki kereta jenis Honda Accord putih dan setibanya di satu persimpangan, kedua-duanya meninggalkan kereta dan melarikan diri ke dalam hutan.

"Kita menjejaki suspek di dalam hutan itu namun tidak berjaya menemui mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, kira-kira sejam kemudian pasukan peronda menemui dua lelaki warga asing di dalam sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan tidak jauh dari kawasan hutan terbabit.

Shafien berkata, polis menahan teksi berkenaan namun kedua-dua penumpang teksi itu meluru keluar melarikan diri.

"Kedua-dua suspek meloloskan diri namun kita menjumpai pasport seorang daripada mereka di dalam teksi itu.

"Hasil siasatan membawa kepada penemuan sebuah rumah di Cyberjaya yang dijadikan stor untuk menyimpan pelbagai barangan hasil curi.

"Kami menemui pelbagai jenis kasut, beg dan jam tangan berjenama selain wang tunai tempatan dan asing.

"Rumah itu tiada penghuni ketika serbuan dilakukan pada 9 Oktober lalu," katanya.

Shafien meminta orang ramai yang menjadi mangsa jenayah kumpulan Latin itu tampil ke IPD Shah Alam.

Menurutnya, hasil siasatan dua kes berjaya diselesaikan iaitu di Kajang dan Seksyen 13, Shah Alam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:26 PM