GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad


DUA beranak melalui detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di rumah mereka di Kampung Sungai Pasu, Raub, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, suspek melarikan kereta mangsa bersama barang kemas dan wang tunai selepas memukul salah seorang mangsa.

Katanya, mangsa mendakwa suspek melarikan wang tunai sebanyak RM1,000, barang kemas bernilai RM20,000 dan pelbagai jam bernilai RM7,000.

“Ketika kejadian ibu dan anak itu dipercayai sedang tidur sebelum mereka terjaga selepas menyedari suspek berada di dalam rumah.

“Mangsa berusia 50 tahun melihat seorang lelaki membawa pisau sebelum seorang daripada suspek memegang mangsa, manakala rakannya mengeledah bilik mangsa.

“Seorang lagi suspek memukul anak mangsa berusia 16 tahun sehingga cedera dan kedua-dua mangsa diselubung dengan selimut,” katanya hari ini.

Menurutnya, suspek melarikan sebuah kereta Proton Saga milik mangsa selain barangan berharga dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun bersenjata.

“Anak mangsa mendapat rawatan di Hospital Raub dan mereka dalam keadaan baik tetapi masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 5:01 PM