TENTERA Taiwan mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan di Taipei, semalam. - Reuters
TENTERA Taiwan mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan di Taipei, semalam. - Reuters
Reuters

Taipei: Presiden Taiwan Tsai Ing-wen semalam menggesa China mengadakan perbincangan sambil dia menyuarakan keazaman mengekalkan hubungan baik dengan Beijing walaupun rundingan antara kedua-dua negara menemui jalan buntu sejak lima bulan lalu.

Dalam ucapan pertamanya selaku presiden sempena Hari Kebangsaan semalam, Tsai tidak merujuk kepada fakta penting disyaratkan Beijing untuk menyambung perbincangan, iaitu Taiwan mengaku ia sebahagian daripada China.

Menurut penyokong Tsai, dia menunjukkan usaha berbaik dengan Beijing tetapi berhati-hati dalam berkata-kata supaya tidak mencetuskan kemarahan penyokong anti-China di Taiwan.

“Kedua-dua pihak perlu duduk berbincang secepat mungkin. Apa saja isu boleh dibincangkan, asalkan ia baik untuk kedua-dua negara,” katanya.

Ucapan Hari Kebangsaan Taiwan sering digunakan pemimpin negara itu untuk mengetengahkan pendirian mereka mengenai hubungan dengan China.

Tsai dan Parti Progresif Demokratik (DPP) menang besar pilihan raya Mei lalu, mengalahkan parti Nasionalis.

Beijing bagaimanapun menganggap DPP tidak boleh dipercayai kerana parti itu memperjuangkan kemerdekaan Taiwan yang dianggap China masih menjadi sebahagian wilayahnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:26 AM