JAILANI berucap di Forum Isu Semasa. FOTO Sharul Hafiz Zam
JAILANI berucap di Forum Isu Semasa. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


Sungai Petani : Sebanyak 36 laman web yang didapati secara aktif terbabit dalam penyebaran ideologi militan Daish disekat oleh Suruhanjaya Komunkasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, laman web pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris itu didapati cuba digunakan oleh anggota militan berkenaan untuk penyebaran propaganda, meraih sokongan dana, merekrut ahli baru dan memutarbelitkan tafsiran ayat al-Quran.

"Sekatan itu turut ia juga membabit 72 pautan Internet manakala 12 akaun media sosial dan 29 kandungan video turut dipadamkan dengan kerjasama pengendali laman media sosial.

"Tindakan ini dibuat selepas melalui pelbagai siasatan SKMM serta memberikan maklumat dan khidmat forensik digital kepada polis untuk tindakan susulan kepada laman web berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Isu Semasa: Ekstremisme Militan Daesh di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pelbagai pihak sudah sedia maklum apabila kumpulan militan Daish kini sudah mula menggunakan platform media baru terutama dalam meraih simpati terhadap perjuangan keganasan mereka.

"Daish kini bukan hanya terkenal dengan aktiviti keganasan bersenjata mereka tetapi mereka kini cuba memperluaskan rangkaian ahli mereka menerusi kemajuan teknologi media baru.

"Ini jelas menjadi cabaran bagi pihak berkuasa dalam menangani kumpulan pengganas terbabit dalam penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi dalam talian seperti Telegram dan Whatsapp," katanya.

Jailani berkata, pemimpin kumpulan pengganas menjadikan mereka yang jahil agama sebagai mangsa dengan menyemai konsep jihad yang salah.

"Kejahilan dalam agama adalah faktor utama menjerumuskan seseorang menjadi itu pengganas kerana sebahagian besar suspek militan Daesh di Malaysia adalah mereka yang didapati cetek pengetahuan agama Islam dan mencari jalan mudah untuk mati syahid.

"Kita juga mendapati seseorang yang dibesarkan dalam keadaan bermasalah serta mempunyai keluarga bermasalah adalah antara faktor yang mendedahkan seseorang itu akhirnya terjerumus menjadi pengganas berdasarkan beberapa kes yang berlaku di Malaysia dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Forum yang menarik hampir 500 orang dari pelbagai sektor kerajaan itu turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:35 PM