Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat 306 laman web judi siber sejak awal tahun ini selepas menerima permohonan daripada pihak polis.

Pengarah Kanan Bahagian Digital dan Literasi Media SKMM Eneng Faridah Iskandar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan itu selepas laman web berkenaan disahkan mempunyai unsur jenayah.

Tahun lalu, 235 laman web seumpama itu disekat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289), katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini hari ini.

“Peranan kita (SKMM) ialah membantu pihak polis memastikan akses kepada laman web perjudian itu disekat dengan mengeluarkan arahan kepada ISP (pemberi perkhidmatan Internet) untuk menghalang akses itu,” katanya.

Eneng Faridah berkata, meskipun tidak memainkan peranan daripada segi penguatkuasaan undang-undang, SKMM sentiasa bersedia menawarkan bantuan kepada PDRM jika diperlukan, khususnya dalam aspek kepakaran forensik untuk membantu membanteras judi siber.

“Kami mempunyai makmal digital forensik di Cyberjaya untuk membantu siasatan. Barang disita seperti ‘hard disk’ (cakera keras) dan sebagainya, jika perlu maklumat lanjut, polis memohon bantuan SKMM membuat kajian forensik ke atas barang itu,” katanya.

Eneng Faridah berkata, siasatan terhadap kegiatan perjudian sama ada secara dalam talian atau di alam nyata di bawah bidang kuasa PDRM iaitu di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Pertaruhan Pool 1967.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini yang menggesa SKMM mengambil tindakan proaktif bagi menangani sindiket perjudian dalam talian yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, pihaknya menerima ratusan aduan berhubung kes berkenaan sejak lima bulan lalu yang didakwa memperdaya orang ramai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbit.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlebih dahulu jika berdepan situasi berkenaan, selain aduan kepada PDRM dan SKMM.

Menurutnya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memberi kerjasama bagi menangani masalah berkenaan, memandangkan mereka lebih tahu mengenai maklumat penghantar SMS.

“Maklumkan kepada mereka kita terima ‘spam’ dan sebagainya dan minta mereka membuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:36 AM