Dr Zakir Naik ketika menyampaikan syarahannya di Dewan Besar UTeM. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Dr Zakir Naik ketika menyampaikan syarahannya di Dewan Besar UTeM. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Mohd Hilmie Hussin dan Nor Shafinaz Sari


Alor Gajah: Soalan mempelajari Islam melalui agama lain antara soalan menarik perhatian Dr Zakir Naik ketika sesi soal jawab di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, malam tadi.

Soalan yang dikemukakan pemuda berusia 20-an beragama Kristian itu mengundang jawapan menarik dari Dr Zakir Naik yang berkata: “Bagaimana anda mahu belajar tapi tidak mahu ke sekolah dan hanya berada di luar pagar?

"Bolehkah anda mendapat pelajaran tanpa masuk sekolah dan kelas?

"Anda katakan anda percaya Tuhan itu satu, anda percaya Muhammad (SAW) itu utusan Tuhan, sebenarnya anda sudah boleh dianggap seorang Muslim tapi anda katakan belum sedia untuk menukar agama.

"Tak mengapa, anda dalami dahulu pengetahuan mengenai Islam," kata Dr Zakir.

Antara soalan lain diajukan kepada Dr Zakir daripada peserta bukan Islam ialah hak wanita berkaitan isu perceraian dalam Islam serta kecelaruan seorang pemuda beragama Hindu mengenai rakan-rakan Kristiannya yang apabila ditanya agama apa dianuti, tidak menjawab Kristian sebaliknya Khatholik, Prostestan dan sebagainya.

"Saya hairan kenapa mereka yang menganut Kristian seolah-olah menganut agama berbeza-beza sedangkan apabila bertanya rakan Muslim, semuanya menjawab menganut Islam,” kata pemuda itu.

Dr Zakir menjawab dengan berkata, Kristian sekarang wujudkan banyak kitab sedangkan Islam hanya ada satu kitab iaitu al-Quran.

“Islam di Malaysia tidak ada bezanya dengan Islam di India atau negara lain di seluruh dunia, hanya ada satu agama Islam dan sebab itu semua penganut Islam hanya menjawab Islam sebagai agama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:18 AM