PESAWAT yang melakukan operasi pembenihan awan di ruang udara dekat Empangan Timah Tasoh, Padang Besar. FOTO Eizairi Shamsudin
PESAWAT yang melakukan operasi pembenihan awan di ruang udara dekat Empangan Timah Tasoh, Padang Besar. FOTO Eizairi Shamsudin

Kuala Lumpur: Beberapa Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, hari ini, untuk menghasilkan hujan di beberapa tempat sasaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, di sini, berkata operasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang itu meliputi kawasan Empangan Sepri dan Gemencheh, Negeri Sembilan; Empangan Durian Tunggal, Melaka; Empangan Sultan Iskandar dan Empangan Lingui di Johor.

Menurut kenyataan itu, OPA dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pula meliputi kawasan Empangan Timah Tasoh di Perlis, Empangan Ahning, Pedu dan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah di Perak.

Sementara itu, operasi dari Lapangan Terbang Labuan menyasarkan kawasan sekitar Penampang dan Tuaran di Sabah.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata operasi itu adalah dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain kaedah pembakaran ‘flare’ oleh pesawat swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 9:19 PM