PESAWAT ringan jenis Cessna 340 A akan digunakan bagi Operasi Pembenihan Awan di Melaka. FOTO Amir Mamat
PESAWAT ringan jenis Cessna 340 A akan digunakan bagi Operasi Pembenihan Awan di Melaka. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


KERAJAAN negeri melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama dua hari bermula hari ini bagi menambah kapasiti air di empangan utama di Durian Tunggal, Melaka.

Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Wahab, berkata operasi berkenaan bermula 2 petang hingga 5 petang ini.

Beliau berkata, pesawat ringan jenis Cessna 340 A dari syarikat Afjet Sdn Bhd digunakan sepanjang operasi itu yang membabitkan dua juruterbang dan pembantu juruterbang serta masing-masing dua pegawai Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri dan pegawai Jabatan Meteorologi negeri.

“Diharap, OPA ini akan menghasilkan hujan kawasan ‘upstream’ Sungai Batang Melaka, jajaran masuk ke Sungai Melaka dan kawasan Empangan Durian Tunggal.

“Saya mohon rakyat di Melaka sama-sama berdoa supaya OPA akan berhasil, sekali gus menambah kapasiti air di empangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, paras air di tiga empangan di Melaka mencatatkan penurunan dengan Empangan Durian Tunggal menurun kepada 26.3 peratus.

Diikuti Empangan Jus (31.4 peratus) manakala Empangan Asahan (58.1 peratus).

Kerajaan Melaka sebelum ini menafikan catuan air berjadual ketika ini adalah krisis air terburuk di Melaka seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, situasi ketika ini disebabkan kegagalan kerajaan terdahulu meneruskan projek Empangan Sungai Jernih pada 2017 sebelum ia diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 3:58 PM