TEROKAI keajaiban fantasi tersembunyi Sydney di Customs House.
TEROKAI keajaiban fantasi tersembunyi Sydney di Customs House.
BERDIRI di atas lantai tari berwarna warni berketinggian 134 meter pastinya mengujakan di Sydney Harbour BridgeClimb
BERDIRI di atas lantai tari berwarna warni berketinggian 134 meter pastinya mengujakan di Sydney Harbour BridgeClimb
SAKSIKAN sendiri ukiran cahaya multimedia haiwan gergasi di Taronga Zoo yang menakjubkan
SAKSIKAN sendiri ukiran cahaya multimedia haiwan gergasi di Taronga Zoo yang menakjubkan
PERSEMBAHAN Laser Dragon Water dan lampu yang bergabung menghasilkan sesuatu yang cukup mengujakan.
PERSEMBAHAN Laser Dragon Water dan lampu yang bergabung menghasilkan sesuatu yang cukup mengujakan.
Suliati Asri


Menakjubkan. Hanya itu yang mampu diungkapkan saat menggambarkan kemeriahan malam penuh berwarna-warni di kota Sydney.

Persis bermandikan gemerlapan cahaya lampu, elemen kejutan gabungan pelbagai aspek menambahkan kemeriahan 23 malam yang penuh dengan warna-warni.

Ingin merasai sendiri kemeriahan dan kejutan yang bakal dirasai di kota Sydney? Festival Vivid Sydney yang bakal berlangsung 27 Mei hingga 18 Jun ini adalah acara yang tidak seharusnya dilepaskan.

Menjadi acara pelancongan terbaik Australia selama tiga tahun berturut-turut, Festival Vivid Sydney 2016 ini bakal menggabungkan seni dan teknologi yang pastinya membuatkan seluruh warga Sydney dan pelancong dari serata dunia terpukau dengan keajaiban 23 malam yang disajikan.

Di sepanjang 23 malam penuh warna-warni Festival Vivid Sydney ini berlangsung, gabungan tiga program besar iaitu Vivid Light yang membabitkan pemasangan lampu berskala besar dan unjuran, Vivid Music dengan persembahan muzik yang cukup menghiburkan dengan kerjasama kumpulan pemuzik terhebat termasuk Vivid LIVE di Sydney Opera House dan perkongsian idea kreatif, perbincangan serta perbahasan menerusi Vivid Ideas pastinya menambahkan lagi kemeriahan.

Memulakan keasyikan malam berwarna-warni di kota Sydney ini, jangan lepaskan peluang meneroka keajaiban fantasi tersembunyi Sydney yang ‘datang’ dalam hidup anda di Customs House.

Menyusuri laluan dengan landskap yang ‘didiami’ ahli sihir, gnomes dan burung kakaktua sememangnya sesuatu cukup menyeronokkan.

Dengan angin malam yang bertiup lembut, persembahan air pancuran setinggi 13 meter di Darling Harbour yang menggambarkan seekor naga sedang mengeluarkan apinya menerusi The Laser Dragon Water Theatre nyata membuatkan anda terpukau.

Terapung tinggi di atas 56 mata air, disusun dalam gegelung seperti ular, skrin air yang bergerak ini menghasilkan pelbagai bentuk daripada naga ganas kepada watak komedi dell’arte yang begitu memukau.

Menambahkan lagi keterujaan dan keseronokan Festival Vivid Sydney ini, memakai jaket cahaya dan menari di lantai tarian berwarna-warni di atas puncak jambatan Sydney Harbour BridgeClimb setinggi 134 meter sememangnya pengalaman yang penuh berharga.

Dengan keheningan malam dan panorama kota Sydney yang penuh berwarna-warni saat itu, berada di puncak tertinggi Sydney Harbour adalah pengalaman yang cukup bermakna.

Sempena Vivid Sydney ini juga, Taronga Zoo nyata berubah wajah dengan suasana yang begitu meriah san sangat mengujakan.

Mana tidaknya, ukiran cahaya multimedia haiwan gergasi di Taronga Zoo ternyata sesuatu yang tidak seharusnya di lepaskan.

Kemeriahan malam penuh warna-warni ini juga bagaikan satu bonus kepada pengunjung kerana kemeriahan yang dirasai di Taronga Zoo adalah berganda dengan sambutan ulang tahun ke-100 Taronga Zoo.

Mengunjungi Taronga Zoo di kala Festival Vivid Sydney ini, anda berpeluang melihat 10 spesies haiwan terpelihara dari Australia dan Sumatera antaranya gajah Asia yang mengagumkan hingga katak Corroboree penuh bercahaya bersama beberapa lagi spesies yang dilindungi Taronga.

Ingin merasai kemeriahan Vivid Sydney? Penerbangan 11 kali seminggu ke Sydney dari Kuala Lumpur dengan hanya RM599 menerusi AirAsia X, Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia, ia ternyata sesuatu yang mampu menzahirkan impian anda.

AirAsia X juga akan menggandakan penerbangannya dua kali sehari bermula Oktober ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.airasia.com/xsightingsydney

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:03 PM