RUMAH Mini Mouse yang comel dan menarik.
RUMAH Mini Mouse yang comel dan menarik.
CAHAYA lampu berwarna-warni  mengindahkan istana Disneyland.
CAHAYA lampu berwarna-warni mengindahkan istana Disneyland.
REKA bentuk It’s A Small World.
REKA bentuk It’s A Small World.
Suliati Asri


Istana beratap biru yang tersergam indah dengan langit cerah pagi itu mencetuskan pemandangan cukup menarik.

Angin dingin yang bertiup hingga menusuk ke tulang walaupun saat itu musim bunga sedikit sebanyak dapat menyegarkan badan yang ‘lemau’ dek tujuh jam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Semakin kaki melangkah mendekatinya, terasa bagaikan berada di dalam cerita kartun yang cukup digemari berzaman lamanya, Cinderella.

Itu belum lagi memasuki rumah Mickey Mouse, watak kartun yang sudah berusia 88 tahun.

Susun atur perabot, almari dan apa saja yang diperlihatkan di dalamnya persis di dalam kartun yang pernah ditonton di kaca televisyen.

Peluang bergambar dengan watak kartun kegemaran seantero dunia itu menjadi pelengkap kunjungan ke situ walaupun terpaksa beratur panjang.

Itulah antara pengalaman mengujakan penulis saat mengunjungi Tokyo Disneyland, baru-baru ini.

Terbahagi kepada tujuh zon, iaitu World Bazaar, Adventureland, Westernland, Critter Country, Fantasyland, Toontown dan Tomorrowland, setiap zon menawarkan keseronokan tersendiri.

Setiap zon pula terbahagi kepada pelbagai jenis permainan yang sesuai untuk semua lapisan umur. Jadi, kanak-kanak, remaja mahupun warga emas boleh merasai pelbagai keseronokan di sini.

Melangkah masuk ke Tokyo Disneyland, suasana berubah seolah-olah sedang memasuki ke dalam dunia kartun.

Deretan kedai cenderamata dengan reka bentuk bangunan unik di ‘World Bazaar’ membuatkan sesiapa saja baik kanak-kanak mahupun dewasa teruja untuk membeli-belah.

Terus berjalan, Istana Disneyland atau istana Cinderella yang tersergam indah yang juga ikon taman tema ini menambahkan keterujaan.

Di hadapan istana Disneyland terdapat kawasan legar luas yang juga menjadi antara lokasi berkumpul pengunjung untuk menyaksikan persembahan mengikut jadual ditetapkan.

Di dalam istana yang menjadi tarikan di dalam zon Fantasyland, pengunjung dapat melihat keunikan kasut kaca milik Cinderella selain pelbagai lukisan dan dekorasi menarik.

Di Toontown pula setiap tarikan di zon ini benar-benar menyamai suasana di dalam kartun Mickey Mouse & Friends.

Disebabkan hujan dan pengunjung yang ramai ketika kunjungan penulis, tidak banyak permainan dapat kami sertai pada hari pertama.

Namun, mencuba sendiri Splash Mountain di CritterCountry, memasuki rumah hantu di Hauntd Mansion, menelusuri sungai dipenuhi watak kartun kecil di dalam It’s A Small World dan terbang bersama kapal lanun di Neverland menerusi Peter Pan’s Flight cukup berbaloi walaupun terpaksa beratur panjang.

Mengembara menaiki kapal angkasa Star Wars menerusi Star Tours: The Adventure Continue di Tomorrowland benar-benar mengujakan.

Star Tours adalah permainan berkonsep empat dimensi (4D) yang membawa pengunjung masuk ke dalam kapal angkasa dan bersiar-siar di angkasa lepas.

Namun, sedang asyik bersiar-siar, kapal angkasa yang dinaiki diserang penjahat Darth Vader. Gegaran yang dirasai di dalam kapal angkasa dengan skrin depan menunjukkan kapal angkasa itu terbabas, melanggar beberapa kapal lain ternyata cukup mendebarkan.

Kapal angkasa yang awalnya perlahan tiba-tiba dipandu laju kerana mahu lari daripada penjahat membuatkan rata-rata penumpang menjerit ketakutan kerana suasananya sangat realistik.

Tatkala lapar, setiap zon ada gerai yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Namun, makanan halal agak sukar diperoleh di sini.

Menambahkan kemeriahan di sini, perarakan penuh warna-warni ‘Happiness Is Here’ karakter kartun cukup menceriakan.

Saat ini, pengunjung mengambil kesempatan merakam gambar perarakan itu sebagai kenangan.

Selain itu, perarakan ‘Electrical Parade Dreamlights’ yang diadakan pada waktu malam menambah keterujaan pengunjung.

Dengan suasana gelap, lampu berwarna-warni yang dipasang di setiap kereta berhias membuatkan rata-rata pengunjung terpegum.

Persembahan lampu berwarna-warni dengan sesi penceritaan dengan menjadikan istana sebagai latar belakang menerusi ‘Once Upon a Time’ melengkapkan kunjungan sehari suntuk di Tokyo Disneyland.

Percikan bunga api yang mewarnai langit malam bagaikan penutup yang memberikan 1,001 kenangan terindah di Tokyo Disneyland, destinasi pelancong keluarga popular di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:10 AM