Elya Marini Darmin pada sidang media selepas Perasmian Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah MPK, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Elya Marini Darmin pada sidang media selepas Perasmian Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah MPK, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenalpasti tiga lokasi di daerah ini untuk dijadikan pusat perlindungan haiwan terbiar seperti anjing, lembu dan kucing.

Antara kawasan yang dikenal pasti terletak di Jalan Sungai Pinang, Pelabuhan Klang dan dua di Taman Perindustrian Kapar Bestari, serta berkeluasan antara 1.61 hingga 3.2 hektar.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata, pembangunan pusat perlindungan itu adalah satu daripada persediaan Klang sebagai bandaraya dalam usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar yang dilaporkan banyak berkeliaran di daerah ini.

"MPK dalam proses kenal pasti tapak bersesuaian milik MPK untuk dijadikan pusat berkenaan.

"Ia dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan dan lokasinya jauh dari kawasan penempatan.

"Kita juga mengalu-alukan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan yang ingin bekerjasama kerana mungkin mereka mempunyai kepakaran dan pandangan dalam pembangunan pusat perlindungan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang siri 2 di Dewan Hamzah MPK, di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, Borhan Aman Shah.

Elya Marini berkata, pada peringkat awal semua yang ditempatkan di pusat perlindungan itu adalah haiwan terbiar yang ditangkap oleh penguat kuasa MPK.

"Bukan hanya anjing atau kucing, ada juga pemilik lembu melepaskan haiwan itu sehingga membuat kacau ganggu kepada penduduk setempat.

"Jadi, pada peringkat awal adalah penguatkuasaan daripada MPK sendiri yang menangkap haiwan terbiar dan tidak bertuan yang berkeliaran.

"Kita akan tengok dari semasa ke semasa, jika ada keperluan untuk mereka (pemilik) yang tidak mampu atau tidak mahu bela boleh ditempatkan di situ," katanya.

Pada masa sama katanya, individu yang sudah membela dan ingin membela anjing perlu memohon lesen bagi memastikan kebajikan haiwan itu terjaga.

"Jika bela, mereka perlu lesenkan anjing mereka dengan kadar bayaran RM10 seekor, maksimum dua ekor bagi setiap individu.

"Orang ramai yang membela anjing tanpa lesen boleh dikenakan kompaun dengan bayaran RM1,000 di bawah UKK 17(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

"Namun, kawasan bangunan berstrata tidak boleh bela anjing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 2:35 PM