KETUA Polis Bahagian Arau, Superintendan Nanda Maarof (tiga dari kiri) bersama pegawai pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 300 kg daun ketum yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
KETUA Polis Bahagian Arau, Superintendan Nanda Maarof (tiga dari kiri) bersama pegawai pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 300 kg daun ketum yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Arau: Polis merampas sejumlah besar bungkusan daun ketum seberat 300 kilogram dianggarkan bernilai RM6,000 dalam sebuah kereta selepas menahan dua lelaki di Jalan Ngulang-Dato Kayaman di Kangar semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada jam 5.15 pagi apabila polis yang membuat rondaan di sekitar Jalan Jejawi Permatang di Arau ternampak sebuah kereta Nissan Cefiro berwarna perak dan bercermin gelap sedang melalui di kawasan berkenaan berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Perlis.

"Berdasarkan pemantauan anggota polis peronda terdapat dua lelaki dalam kedaan mencurigakan berada dalam kereta berkenaan dan anggota peronda kemudian mengekori kereta suspek itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, di sini, tadi.

Tambahnya, suspek yang menyedari mereka diekori kemudian bertindak memecut kereta menyebabkan anggota polis peronda mengejar kereta suspek sejauh dua kilometer sehingga memasuki Jalan Ngulang-Dato Kayaman, Kangar.

"Polis akhirnya berjaya memintas kereta suspek dan pemeriksaan selanjutnya menemui sejumlah besar bungkusan daun ketum yang dibalut menggunakan plastik lutsinar seberat 300 kilogram yang diletakkan secara berselerakan di tempat duduk belakang dan but kereta itu yang sudah diubahsuai," katanya lagi.

Siasatan awal polis mendapati bekalan daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran Thailand dan kedua-dua lelaki itu adalah tukang bawa atau 'runner' yang diupah sebanyak RM15 untuk satu kilogram bekalan daun ketum itu.

"Kedua-dua suspek berasal dari Simpang Empat, Kangar dan adalah rakan baik dalam kegiatan ini. Berdasarkan rekod polis pula, salah seorang daripada suspek yang berusia 32 tahun itu pernah mempunyai rekod jenayah atas kesalahan yang sama iaitu menyeludup daun ketum," katanya lagi.

Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 1:11 PM