MAYAT mangsa di bawah treler berkenaan. FOTO Arkib NSTP
MAYAT mangsa di bawah treler berkenaan. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA orang kurang upaya (OKU) lembam maut selepas dilanggar treler ketika melintas jalan di Jalan Ulu Pauh - Padang Besar di hadapan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Khatijah Kamis, 33, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi berkata, pemandu treler terbabit dalam perjalanan ke Padang Besar, namun memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

"Pemandu terbabit kemudian meneruskan perjalanan. Bagaimanapun ketika treler berkenaan baru bergerak, pemandu perasan bahawa kenderaannya terlanggar sesuatu.

“Dia kemudian memberhentikan kenderaan dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terlanggar seorang wanita," katanya.

Menurutnya, berdasarkan saksi kejadian, mangsa yang berada di lokasi terbabit dikatakan melintas secara tiba-tiba di hadapan treler ketika kenderaan itu sedang bergerak.

"Pemandu yang tidak nampak mangsa melanggarnya secara tidak sengaja," katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 10:51 PM