KETUM yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, di sebuah kawasan kuari di Padang Besar. FOTO Ihsan Aksem Chuping.
KETUM yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, di sebuah kawasan kuari di Padang Besar. FOTO Ihsan Aksem Chuping.
Aizat Sharif


Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping mematahkan cubaan penyeludupan ke Thailand susulan penemuan 700 kilogram (kg) daun ketum yang ditinggalkan dalam kenderaan pacuan empat roda, di kawasan kuari Batu Reput, Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Felda Rimba Mas, di sini, hari ini.

Bahan terlarang itu ditemui ketika peronda AKSEM Chuping sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan ladang tebu, pada 7.30 pagi.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, pemantauan di lokasi kejadian tidak menemui kelibat sesiapa, kecuali sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero berwarna hijau yang ditinggalkan dalam keadaan enjinnya masih hidup.

"Curiga dengan keberadaan kenderaan berkenaan, anggota kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui guni putih berisi daun hijau disyaki ketum dalam kenderaan berkenaan.

"Kita melakukan pemerhatian di kawasan berkenaan selama sejam namun tiada sesiapa menghampiri kawasan kuari berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 20 guni putih berisi daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan seberat 700 kg.

"Kita percaya bekalan daun ketum ini cuba dibawa ke Thailand memandangkan kawasan berkenaan sangat hampir dengan sempadan Malaysia-Thailand.

"Malah, tindakan membiarkan enjin kenderaan pacuan empat roda itu mungkin bagi membolehkan penyeludup terus membawa bekalan daun ketum dari kawasan kuari itu dengan pantas tanpa diketahui sesiapa," katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan termasuk kenderaan pacuan empat roda itu dianggarkan bernilai RM41,000.

"Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 11:28 AM