Warung Qawwam dipenuhi pelanggan pada waktu pagi dan hujung minggu.
Warung Qawwam dipenuhi pelanggan pada waktu pagi dan hujung minggu.
Antara tengkolok yang dipamerkan di Warung Qawwam untuk dijual.
Antara tengkolok yang dipamerkan di Warung Qawwam untuk dijual.
Nasharddin bersama kakitangannya serta peniaga yang membuka gerai di Warung Qawwam.
Nasharddin bersama kakitangannya serta peniaga yang membuka gerai di Warung Qawwam.
Nasharddin di hadapan warungnya.
Nasharddin di hadapan warungnya.
myMetro

Siapa kahwin? Bersilat di mana? Itu soalan popular diajukan orang ramai ketika berselisih dengan mana-mana kakitangan Warung Qawwam di sekitar Kampung FELDA Bukit Cerakah dan Puncak Alam, Selangor.

Manakan tidak ditanya, pemakaian busana Melayu lengkap dengan tengkolok dan capal yang digayakan mereka sewaktu ditemui di tempat awam seperti pasar, pusat riadah dan sebagainya bukanlah kebiasaan dalam kalangan kita.

Namun, bagi semua 10 kakitangan kedai makan itu, tiada yang menghairankan kerana pakaian itu hanyalah busana zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Bagi mereka, pakaian itu makin dilupakan berikutan kemunculan pelbagai fesyen terbaru yang sedikit sebanyak mengikis ingatan masyarakat terhadap reka bentuk asal busana Melayu.

Disebabkan itu, 10 ‘pendekar’ ini cuba membawa imej tradisional ke Warung Qawwam di simpang masuk Kampung Felda Bukit Cerakah dekat Meru, Selangor.

Realitinya, biarpun penampilan mereka heboh diperbualkan kebelakangan ini, Pengurusnya Nasharddin Hussain, 49, berkata, pemakaian itu sudah menjadi rutin mereka setiap malam sejak 15 tahun lalu.

“Lucu juga apabila memikirkan banyak pula gelaran untuk warung kami. Ada yang menggelarkannya warung pahlawan, ada juga panggil warung pendekar.

“Sebelum menjadikan busana ini sebagai uniform kerja pun, kami pernah digelar warung janggut disebabkan semua kakitangan restoran ini berjanggut,” katanya tertawa.

Berkongsi lebih lanjut, Nasharddin berkata, sepanjang 13 tahun pertama, semua kakitangan warung itu melalui rutin memakai busana terbabit pada waktu malam setiap hari.

Katanya, selepas kedai ditutup kira-kira jam 9 malam, mereka akan mandi sebelum bersiap mengenakan busana terbabit untuk menyertai aktiviti kebudayaan di pusat budaya berhampiran atau di warung saja.

“Cuma dua tahun lalu, kami fikirkan mengapa tidak pakai saja di warung pada waktu siang kerana ia tetap akan dipakai pada sebelah malam. Malah kalau keluar dengan keluarga dan rakan pada hujung minggu pun inilah pakaian kami.

“Tetapi sebelum melaksanakannya, kami jahit perlahan-lahan bagi memastikan persalinan busana ini mencukupi untuk setiap kakitangan. Daripada cuma tiga pasang, sekarang setiap kakitangan ada sekurang-kurangnya 10 pasang.

“Ada yang berasakan pakaian ini panas tetapi kami memang gunakan kain kapas nipis ketika bekerja, songket hanya dipakai pada waktu malam,” katanya.

Demi menggalakkan orang ramai memakai pakaian tradisional itu, Nasharddin berkata, beberapa idea dilaksanakan di warungnya.

Antaranya, pelanggan yang bertandang ke warungnya dengan memakai busana Melayu lengkap bagi lelaki dan Puteri Perak bagi perempuan tidak perlu membayar hidangan mereka.

Malah, warungnya turut menjual tengkolok yang dihasilkan sendiri pada harga modal iaitu RM50.

“Setiap Sabtu dan Ahad, kami juga buka gerai kecil di tepi warung yang menjual busana dan tengkolok pada harga murah. Malah tukang jahit juga ada untuk baiki saiz yang tidak padan.

“Hanya ini yang kami mampu untuk lakukan untuk terap identiti usul Melayu. Saya agak terkejut apabila ada kanak-kanak tidak tahu apa itu hulubalang dan saya lebih risau banyak lagi keaslian lain yang tidak diketahui generasi sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai menu istimewa di Restoran Qawwam, Nasharddin berkata, kebanyakan hidangan di situ menghidangkan makanan biasa seperti roti canai, nasi lemak, nasi ayam, mi sup, nasi campur dan sebagainya.

Namun begitu, mereka tetap lega kerana rata-rata pelanggan berpuas hati dengan khidmat di warung berkenaan baik dari segi layanan mahupun makanan, malah pelanggan yang datang juga tidak putus-putus.

“Pada Sabtu dan Ahad, memang terpaksa minta ihsan jiran sebelah untuk benarkan pelanggan kami duduk di sana kerana pada satu-satu masa, hanya 150 orang boleh muat di warung kami.

“Hari biasa pula, jam 7 pagi hingga 12 tengah hari waktu puncak. Memang tak mampu nak berborak seperti ini pun (sesi temuramah bersama Harian Metro),” katanya berseloroh.

Warung Qawwam beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 9 malam setiap hari kecuali Jumaat yang hanya dibuka sehingga 12 tengah hari.

Selain Selangor, Qawwam juga beroperasi di Kuala Berang, Terengganu dan Bota Kiri, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 12:05 PM