Recqueal Raimi

Tuaran: Berbeza dengan nasi kuning biasa yang dihidangkan berbentuk bulat, sebuah warung di Kampung Telibong, Jalan Tamparuli-Tuaran, di sini, menampilkan kelainan dengan menghidangkan nasi kuning berbentuk hati.

Hidangan yang dipanggil nasi kuning ‘I Love You’ itu menarik ramai pelanggan berkunjung ke warung di tepi jalan itu yang dikenali sebagai Warung Kak Mar, kerana terpikat dengan bentuknya yang tiada di tempat lain.

Walaupun rasanya tiada beza dengan nasi kuning biasa yang popular dalam kalangan masyarakat di pantai timur negeri itu, bentuknya yang unik itu menyebabkan ia mendapat perhatian ramai termasuk dari luar daerah.

Pengusahanya, Mariani Sideek, 56, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Mar berkata, idea membuat nasi kuning berbentuk hati itu tercetus berdasarkan pengalaman keluarganya yang berdepan pelbagai dugaan dalam perniagaan.

Katanya, selepas bersara daripada sektor awam, dia dan suaminya, Fauzi Mayun, 58, yang bekerja di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) membuka warung berkenaan dengan dibantu enam anak.

MARIANI   bersama suami dan anaknya di Kampung Telibong, Jalan Tamparuli-Tuaran.
MARIANI bersama suami dan anaknya di Kampung Telibong, Jalan Tamparuli-Tuaran.

“Kami membuka warung ini pada Oktober 2017, namun ketika itu, kami sangat kurang pelanggan walaupun pelbagai cara digunakan termasuklah menyediakan laman Warung Kak Mar di Facebook.

“Kami tidak berhenti berusaha dan sehinggalah saya terfikir untuk membezakan nasi kuning warung ini dengan yang lain sebelum saya membeli satu acuan berbentuk ‘love’ atau hati.

“Ia sangat istimewa bagi kami kerana menunjukkan hubungan erat kami sekeluarga termasuk tolong-menolong untuk mengusahakan warung,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, keunikan bentuk nasi kuning itu menarik pelanggan yang kemudian menyebarkan kepada orang ramai menyebabkan warungnya semakin dikunjungi ramai pelanggan.

Sementara itu, Fauzi berkata, ketika mereka baru berkahwin, isterinya kerap membuat nasi kuning yang dibungkus sebelum dijual dengan harga RM1.

“Isteri memasak nasi seawal jam 3 pagi sebelum saya membawanya ke tempat kerja untuk dijual.

“Memikirkan kenangan itu, kami membuat keputusan membuka warung yang menyediakan nasi kuning ‘I Love You’ termasuk pelbagai menu lain seperti soto, bakso, sup tulang dan nasi ayam penyet,” katanya.

Pengunjung, Atiqah Rahman, 30, yang ditemani suaminya, Razuan Bakhri, 33, mengakui tertarik dengan hidangan nasi kuning berbentuk hati itu dan menyifatkannya sesuatu yang boleh mengeratkan hubungan dan kasih sayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:26 AM