ABANG Ahmad mengadakan sidang media mengenai kes budak dilarikan di Kuching. FOTO Rudi Affendi Khalik
ABANG Ahmad mengadakan sidang media mengenai kes budak dilarikan di Kuching. FOTO Rudi Affendi Khalik
Mohd Aidil Abdullah\


Kuching: Lelaki ditahan di Kampung Siol Kandis, Kuching, 5 petang tadi bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu dipercayai melarikan Haiqal Haqimi Suhini ketika kanak-kanak itu bermain di perkarangan rumah keluarganya di Jalan Astana, Petra Jaya di sini, kira-kira 1 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, lelaki terbabit menghantar kanak-kanak itu pulang semula ke rumah keluarga mangsa di Jalan Astana di sini, pada 3 petang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Ibu Pejabat Polis daerah Kuching melakukan serbuan dan menangkap lelaki itu di rumahnya.

"Kanak-kanak itu dihantar pulang menaiki motosikal dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Mangsa memaklumkan dia bermalam di rumah lelaki berkenaan yang turut didiami seorang wanita dan dilayan dengan baik. Polis masih menjalankan siasatan tujuan lelaki terbabit membawa mangsa ke rumahnya," katanya.

Kehilangan Haiqal menjadi viral di pelbagai laman sosial selepas keluarganya memohon bantuan orang ramai mengesan kanak-kanak berkenaan selepas dilarikan dua individu tidak dikenali.

Rakaman kamera litar tertutup mengenai insiden kanak-kanak itu turut disebarkan di laman sosial, selain gambar kanak-kanak terbabit disebarkan sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan melarikan mana-mana individu, atau cubaan memisahkan mangsa daripada penjaga sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 8:19 PM