GAMBAR mangsa keganasan Serb dipamerkan di atas meja ketika sekumpulan penduduk Islam Bosnia di Sarajevo menonton siaran langsung keputusan perbicaraan  Karadzic di The Hague, kelmarin.
GAMBAR mangsa keganasan Serb dipamerkan di atas meja ketika sekumpulan penduduk Islam Bosnia di Sarajevo menonton siaran langsung keputusan perbicaraan Karadzic di The Hague, kelmarin.

Moscow: Timbalan Menteri Luar Russia, Gennady Gatilov semalam berkata, sabitan tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap bekas pemimpin pengganas Serb Bosnia, Radovan Karadzic bersifat politik.

Dalam komen pertama seorang pegawai kanan Russia itu, Gatilov juga menuduh hakim di mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan berat sebelah.

Katanya, Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia tidak melihat jenayah yang dilakukan pihak Kosovo.

“Sudah lama kami menyatakan bahawa aktiviti di tribunal berkenaan bersifat politik,” kata Gatilov kepada agensi berita Interfax.

Ketika ditanya, adakah sabitan terhadap Karadzic oleh tribunal jenayah PBB itu juga bersifat politik, Gatilov menjawab ‘Ya.’

“Malangnya, semua kes yang diteliti terdapat satu pihak sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, mahkamah tidak meneliti jenayah yang dilakukan pemimpin dan tentera Kosovo.

“Kami menganggap aktiviti berat sebelah di tribunal berkenaan tidak dapat diterima,” tegasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:23 AM