ALI  Hassan bersama pekerja memeriksa kasut sukan baru selepas ditemu ramah di Menara Bata PJ Trade Centre, Damansara Perdana.
ALI Hassan bersama pekerja memeriksa kasut sukan baru selepas ditemu ramah di Menara Bata PJ Trade Centre, Damansara Perdana.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Al-ikhsan Sports Sdn Bhd (aL-ikhsaN) terus mengorak langkah jauh dengan merancang membuka cawangan kedai bola sepak premium khusus berkaitan sukan bola sepak meliputi pakaian sehingga kasut yang menghimpunkan pelbagai jenama sukan terkenal di pusat beli-belah utama, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Hassan Mohd Hassan berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membuka tiga cawangan di sekitar Lembah Klang dan ia bukan sahaja menampilkan konsep berbeza, tetapi menawarkan pelbagai jenis barangan dan kelengkapan sukan bola sepak pada harga premium.

Beliau yang menubuhkan aL-ikhsaN sejak 1993 berkata, sekiranya konsep kedai itu mendapat sambutan, syarikat akan memperluaskannya ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Johor.

“Sebelum ini, aL-ikhsaN terkenal dengan segmen peruncitan sukan yang menawarkan harga berpatutan kepada orang ramai dengan menguasai 36 peratus pasaran dan sekarang sudah tiba masanya untuk kami meningkatkan lagi penguasaan pasaran dengan menampilkan sesuatu yang baru dalam segmen premium.

“Saiz cawangan premium ini dianggarkan 3,000 kaki persegi dan kita akan menghimpunkan semua jenama terkenal di bawah satu bumbung dan dijangka menjadi pusat sehenti untuk aktiviti membabitkan bola sepak serta bakal menjadi ‘trendsetter’ untuk sukan itu,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Pada Julai lalu, syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memperoleh 35 peratus pegangan ekuiti dalam aL-ikhsaN pada nilai RM68.6 juta.

Pelaburan dalam syarikat barangan sukan Bumiputera terkemuka negara itu menandakan pembabitan sulung Ekuinas dalam segmen peruncitan sukan yang memperluaskan portfolio runcit syarikat menjangkaui perniagaan makanan dan minuman (F&B) pada masa ini.

Selaras dengan mandat untuk mewujudkan syarikat peneraju pasaran, Ekuinas berkata, ia merancang menyokong usahawan Bumiputera yang berkebolehan untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran baharu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta pasaran serantau.

Ali berkata, aL-ikhsaN juga merancang menembusi pasaran Sabah dan Sarawak dengan cadangan membuka enam cawangan di Kuching dan Kota Kinabalu menjelang 2018 serta pada masa sama mengintai peluang untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata, setakat ini aL-ikhsaN mempunyai 116 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan pihaknya juga akan menambah baik cawangan sedia ada mengikut latar belakang sosioekonomi dan demografi untuk memenuhi permintaan yang berbeza.

“Kami sangat menitikberatkan kehendak pengguna, disebabkan itu aL-ikhsaN mampu menawarkan jenama sukan terkenal pada harga lebih rendah kerana kami berunding terus dengan pengeluar jenama untuk mengeluarkan barangan mengikut sasaran pelanggan.

“Rakyat Malaysia sekarang sudah mula mengamalkan gaya hidup yang sihat dan kami di aL-ikhsaN bersedia memastikan orang ramai mendapat kelengkapan sukan dengan kualiti tinggi tetapi pada harga mampu milik,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sedang mempersiapkan syarikat untuk menembusi pasaran Asia dengan pasukan pengurusan yang lebih profesional dan turut merancang untuk menyenaraikan aL-ikhsaN di Bursa Malaysia dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.

Sementara itu, Ali yang juga Pengarah Prestige Sports Sdn Bhd kini menjadi pengedar tunggal bagi empat jenama sukan terkenal dunia iaitu Asics, Lotto, Teva dan Canterbury.

“Semua jenama ini juga boleh didapati di rangkaian aL-ikhsaN dan kedai sukan lain yang bekerjasama dengan Prestige Sports,” katanya sambil menambah aL-ikhsaN turut aktif menjadi penaja dalam sukan bola sepak tanah air khususnya jersi beberapa pasukan bola sepak negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 7:30 AM