SENTUHAN dekorasi yang tidak sarat dan bersahaja ini boleh dipraktikkan bagi mereka yang inginkan kelainan.
SENTUHAN dekorasi yang tidak sarat dan bersahaja ini boleh dipraktikkan bagi mereka yang inginkan kelainan.

Salam deko. Selain beberapa konsep sentuhan dekorasi yang sering digunakan dalam menata hias kediaman, sentuhan pesisir paling ‘tersisih’ kerana jarang menjadi pilihan utama bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, ia menjadi kegilaan di negara Barat dan sering diguna pakai selebriti terkenal ketika menata hias kediaman mewah mereka.

Dekorasi pesisir sebenarnya berasal dari sentuhan untuk kediaman di pesisiran pantai. Sentuhan yang ‘ringan’ dan bebas ini dilihat mengambil unsur lautan dan langit yang infiniti, bersih dan menenangkan.

Kebanyakan penduduk barat yang memiliki kediaman mewah di tepi pantai pasti menghiasi kediaman mereka dengan konsep ini.

Sebaliknya bagi kita, konsep pesisir lebih banyak diaplikasikan rumah penginapan dan peranginan di tepi pantai sedangkan sentuhan ini menimbulkan suasana menenangkan jika digunakan di kediaman biasa.

Gaya pesisir pilihan tepat untuk inspirasi dekorasi rumah yang mendambakan kedamaian. Sinar matahari, deruan ombak dan pasir laut dapat diaplikasikan pada pemilihan warna ruang hingga menciptakan suasana tenang.

Dominasi biru, putih dan coklat muda serta tambahan beberapa hiasan sedondon seperti lukisan menambah kesan pantai yang me­nyegarkan di rumah anda. Hiasan seperti kulit siput, kulit kerang dan batu karang sangat sesuai dengan konsep ini. Malah, ia sering kelihatan bersih dan damai kerana kombinasi warna pastel lembut, selain kombinasi fabrik lembut dan jarang selalunya menyerlahkan lagi konsep ini.

Sentuhan dekorasi tidak sarat dan bersahaja ini boleh dipraktikkan bagi mereka yang inginkan kelainan dalam penataan. Tidak semestinya kediaman anda berada di tepian pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:37 AM