LIM (tengah)  mengadakan lawatan di ruang jualan sempena majlis perasmian pembukaan SenQ di Pasaraya AEON, Nilai. FOTO Adzlan Sidek
LIM (tengah) mengadakan lawatan di ruang jualan sempena majlis perasmian pembukaan SenQ di Pasaraya AEON, Nilai. FOTO Adzlan Sidek
Syarifah Dayana Syed Bakri

Nilai: SenQ Digital Station, cawangan digital di bawah Senheng Sdn Bhd melabur sehingga RM3.5 juta untuk pembukaan cawangan terbarunya di pusat beli-belah Aeon Nilai.

Pengarah Urusannya, KH Lim berkata, cawangan berkenaan yang juga pertama di daerah ini menggunakan format lebih menarik dengan saiz dan skala lebih besar untuk keselesaan pelanggan.

“Konsep ini secara tidak langsung mewujudkan keseronokan untuk meningkatkan pengalaman ‘interaksi’ antara pelanggan dan produk,” katanya pada majlis pembukaan di sini, baru-baru ini.

SenQ Digital ini cawangan ke-30 kendalian syarikat dan yang ke-113 di bawah Senheng Sdn Bhd.

Cawangan terbaru ini menelan kos RM1.5 juta untuk proses ubah suai premis dan RM2 juta (inventori).

Menurutnya, bagi memberi tumpuan kepada meningkatkan pengalaman pelanggan, pihaknya juga akan mengecilkan operasi dengan menutup beberapa cawangan.

“Terdapat lokasi yang mempunyai dua cawangan berhampiran dan kami membuat keputusan memberi tumpuan kepada satu cawangan saja.

“Menjelang 2020, kami menyasarkan untuk mengendalikan hanya 100 cawangan meliputi Senheng dan SenQ Digital Station,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak yang menyediakan platform pembayaran bagi memudahkan pelanggan.

“Sehingga kini kami menerima hampir semua jenama e-dompet yang terdapat di pasaran. Ia bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan dalam memilih cara pembayaran mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:31 PM