Rodly Fadly

Shah Alam: Penyerang import Selangor Patrick Ronaldinho Wleh (gambar) diminta menimbang semula hasratnya meninggalkan pasukan itu musim depan kerana ramai penyokong menyayanginya berbanding mereka yang membenci.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) Haniff Rana berkata, tindakan segelintir penyokong memaki-hamun Ronaldinho bukan menggambarkan sentimen sebenar keseluruhan penyokong The Red Giants terhadap pemain berkenaan.

“Saya sangat memahami perasaan Ronaldinho apabila diperlakukan sebegitu. Sebagai Presiden SSFC, saya sendiri tidak boleh terima sikap sesetengah penyokong yang keterlaluan. Kita boleh meluahkan rasa kecewa dengan prestasi pemain atau pasukan tapi memaki-hamun bukan budaya kita.

“Sebagai penyokong kita sepatutnya menjadi pembakar semangat kepada pasukan dengan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi walau dalam apa keadaan sekalipun. Jangan hanya ketika pasukan menang kita sokong tapi apabila kalah, kutuk.

“Begitupun, saya ingin menegaskan, apa yang berlaku ke atas Ronaldinho bukan gambaran sebenar sikap keseluruhan penyokong Selangor. Ia hanya dilakukan kumpulan kecil fanatik yang tidak boleh terima kekalahan.

“Saya nak beritahu Ronaldinho, bukan semua penyokong benci dia, hanya sedikit. Sebaliknya, ramai yang menyayangi dan menghargai sumbangannya sejak menyertai Selangor,” kata Haniff.

Arena Metro baru-baru ini melaporkan Ronaldinho menyatakan pendiriannya untuk meninggalkan Selangor selepas tamat musim ini kerana tidak tahan layanan buruk penyokong pasukan itu yang bukan saja menyalahkan dia setiap kali kalah malah memaki-hamunnya.

Namun bagi Haniff, Ronaldinho menjalankan tugasnya sebagai penyerang dengan baik apabila mampu menjaringkan gol secara konsisten. Malah pemain kelahiran Liberia itu kini sedang mendahului senarai penjaring dalam Liga Super dengan lima gol.

“Jadi, tidak masuk akal jika ada penyokong menyalahkan dia hanya kerana tidak menjaringkan gol dalam satu atau dua perlawanan. Secara keseluruhan dia memberi sumbangan besar sejak menyarung jersi Selangor.

“Saya yakin majoriti penyokong akan terus menyokong dia. Oleh itu, saya berharap Ronaldinho mempertimbang semula hasratnya untuk meninggalkan Selangor musim depan. Anggap apa yang berlaku ke atasnya sebagai asam garam bola sepak,” ujar Haniff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:13 AM