HAZIQ (jersi oren) tekad cemerlang.
HAZIQ (jersi oren) tekad cemerlang.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketika lawan menampilkan pemain berpengalaman beraksi dalam liga utama, jurulatih PDRM, Fauzi Pilus tampil berani mempertaruhkan beberapa pemain muda bagi membarisi skuad berkenaan.

Malah tindakannya menurunkan penjaga gol berusia 18 tahun, Haziq Nazdli bagi mengisi posisi benteng terakhir pasukan itu menghadapi saingan Liga Super musim ini, nyata cukup berani dan berbaloi.

Ini berikutan bekas pelajar Sekolah Sukan Pahang, Jalan Gambang itu bertindak cemerlang bersama skuad berkenaan walaupun berdepan lawan yang lebih gagah selain penyerang import berbisa.

Terbaru, Haziq diturunkan berdepan juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA yang amat mencabar dan menguji kematangan penjaga gawang muda terbabit.

Namun tindakannya berbalas apabila menafikan usaha penggempur lawan diketuai penyerang berbisa, Jorge Diaz, Juan Lucero, Aznie Taib, Azamudin Akil dan Safiq Rahim.

Hanya penalti menjadi pemisah kekebalan Haziq yang disudahkan dengan baik Lucero pada m-18 yang juga satu-satunya jaringan malam itu.

Fauzi berkata, beliau memuji persembahan Haziq yang tidak janggal berdepan deretan percubaan bahaya Harimau Selatan yang giat mengasak sejak awal permainan.

Katanya, dia melihat potensi besar Haziq untuk lebih berjaya, tambahan sudah diturunkan banyak perlawanan termasuk berdepan pasukan hebat pada peringkat awal Piala FA dan Liga Super.

Justeru, beliau mengharapkan Haziq terus konsisten selepas ini berikutan penjaga gol itu dianggap lulus dalam ujian getir seperti dibuktikan sebelum ini.

“Selain Haziq saya juga mengenal pasti beberapa muka baru dalam kalangan pemain muda untuk diturunkan dalam saingan Liga Super dan pusingan kedua suku akhir Piala FA di Larkin pada 2 April nanti.

“Kemasukan pemain muda boleh memberi kelebihan dan keyakinan buat pemain lain menerusi gerakan dan larian pantas mereka meneroka kubu lawan,” katanya.

Sementara itu, Haziq berterima kasih kepada barisan pengurusan dan jurulatih yang memberinya peluang beraksi di liga utama Malaysia.

”Saya akan cuba beri yang terbaik kerana masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk menjadi penjaga gawang dihormati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:07 AM