WANITA yang ditahan polis serta merampas 13 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan jernih dan serbuk disyaki dadah jenis syabu di sebuah hotel bajet di Jalan Penjara.  FOTO ihsan PDRM
WANITA yang ditahan polis serta merampas 13 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan jernih dan serbuk disyaki dadah jenis syabu di sebuah hotel bajet di Jalan Penjara. FOTO ihsan PDRM
Shahrul Nizam Mohamad


Kuantan: Seorang wanita dipercayai penagih dadah memarahi anggota polis yang mahu memberkasnya di sebuah hotel bajet di Jalan Penjara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, suspek berusia 35 tahun turut bergelut dengan anggota polis sebelum diberkas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Balai Polis Kuantan selepas menerima maklumat awam berhubung suspek mencetuskan kekecohan di hotel bajet berkenaan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian suspek memarahi anggota polis yang menghampirinya untuk melakukan pemeriksaan sebelum berlaku pergelutan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, suspek kemudian berjaya ditahan dan polis merampas 13 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan jernih dan serbuk disyaki dadah jenis heroin serta syabu.

"Wanita itu ditahan reman selama seminggu di Kompleks Tahanan Indera Mahkota, di sini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 4:25 PM