KAMAL Bahri membentuk ukiran pada batu yang ditanam dengan pokok bonsai.
KAMAL Bahri membentuk ukiran pada batu yang ditanam dengan pokok bonsai.
POKOK bonsai boleh ditanam di dalam pelbagai bekas.
POKOK bonsai boleh ditanam di dalam pelbagai bekas.
DERETAN bonsai yang menghiasi landskap halaman rumah Kamarul Bahri.
DERETAN bonsai yang menghiasi landskap halaman rumah Kamarul Bahri.
POKOK bonsai digubah dalam pelbagai bentuk mengikut kreativiti.
POKOK bonsai digubah dalam pelbagai bentuk mengikut kreativiti.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Melihat pepohon ‘kerdil’ yang menghiasi landskap kediaman memang mengasyikkan. Begitupun, hati pasti tertanya bagaimana ‘pengukir’ bonsai membentuknya hingga menjadikan tanaman itu renek, rendang berdaun lebat dan tersusun rapi?

Terlintas juga di fikiran, bagaimana mereka sanggup menghabiskan waktu ‘membelek’ pohon kesayangan, menggubah ranting dan dahan hingga menjadi begitu unik dan mempesona mata sesiapa yang memandang.

Ironinya, bukan mudah ‘membantutkan’ tanaman yang pada hakikatnya membesar secara normal dan boleh mencapai ketinggian hingga beberapa meter.

Tetapi ia bukan mustahil kepada pencinta bonsai menggubah tanaman itu menjadi lebih eksklusif dan apabila dijual mencecah harga ribuan ringgit.

Memang agak rumit melakukan kerja melilit dawai pada dahan atau ranting pokok untuk mencantikkan gubahannya tapi demi minat, semua itu diketepikan walaupun membabitkan bajet tertentu.

Menggubah bonsai memerlukan daya kreativiti dan ilmu pengetahuan mendalam untuk mendapat tekstur diinginkan.

Menerusi pelbagai rekaan bermula daripada pasu, ia kemudian bertukar kepada gubahan menerusi ranting, dahan dan batang pokok yang disulam menggunakan dawai. Ia bagi mendapatkan bentuk diilhamkan.

Menghabiskan masa hampir empat jam setiap hari khususnya pada waktu malam, seorang peminat bonsai di Taman Berjaya Permai, Kuantan, Pahang, tidak pernah jemu berbuat demikian sejak tujuh tahun lalu.

Bermula sebagai hobi dengan hanya beberapa gubahan pohon bonsai hidup, kini Kamarul Bahri Mohd Nazmi, 42, mampu ‘membantutkan’ hampir 100 pohon yang menghiasi halaman rumahnya.

Biarpun kaum Cina yang mendominasi tanaman bonsai hingga menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkannya, ia bukan menjadi penghalang kepada peminat tegar pohon ‘ketot’ itu daripada kalangan kaum Melayu untuk turut memilikinya.

Tertarik dengan keunikan pohon bonsai pada usia remaja, Kamarul Bahri mula serius mempelajari kemahiran menanam bonsai kira-kira 14 tahun lalu selepas melihat beberapa jenis tanaman ‘dibantutkan’ di sebuah nurseri bunga.

“Bonsai memiliki keistimewaan tersendiri dan hanya yang meminati dan memilikinya tahu betapa berharganya pokok yang dibentuk menggunakan dawai, dililit pada dahan dan ranting itu.

“Saya menanam bonsai atas dasar hobi semata-mata tapi jika ada yang hendak membeli saya tidak keberatan menjualnya,” katanya.

Katanya, kebanyakan pembentuk bonsai menggunakan pokok herba atau hiasan seperti pokok Cina maki atau nama saintifiknya Leptospermum flavescens, celoreng atau cucur atap (Beackea Frutescens), kemunting (Catharanthus roseus), kemuning (Murraya paniculata) surinam ceri (Eugenia uniflora), jeliti (Wrightia Religiosa), bebuas (Premma Cordiflora), jari lipan (Pedilanthus Tithymaloides), mulberi (Morus nigra L).

Selain itu, pelbagai jenis pokok hiasan turut dibantutkan terutama bunga kertas.

Bagaimanapun, Kamal Bahri lebih banyak menggunakan pokok jeliti, cucur atau celoreng atap yang bukan sahaja senang dibentuk, malah tahan lasak.

“Sering kali pokok yang dimiliki dan dijaga mati begitu saja,” katanya.

Membentuk bonsai

Bagi membentuk bonsai, ia mengambil masa antara dua hingga empat tahun dan sudah semestinya memerlukan tahap kesabaran tinggi.

Pemilik bonsai juga mesti ada penglihatan cukup tajam untuk memastikan bonsai membesar tanpa gangguan serangga perosak atau kulat yang boleh tumbuh di bahagian batang pokok.

“Daunnya pula harus dipetik helai demi helai apabila sudah tua dan proses itu perlu berhati-hati bagi mengelak dahan luka atau patah,” kata Kamarul Bahri.

Bagi membentuk struktur bonsai, dawai dengan ukuran sesuai dililit sepanjang dahan atau ranting yang ingin dibentuk dan dibiarkan hingga lenturan mantap dan kuat sebelum dibuka selepas beberapa tahun.

Bonsai boleh ditanam dalam pelbagai bekas sama ada batu, kayu atau monumen seperti rumah, perahu, haiwan atau arca tertentu hingga terbentuk satu landskap atau panorama alam secara semula jadi.

“Kreativiti juga penting untuk menghasilkan bonsai bersama pasu yang bersesuaian dan pasti harganya juga berbeza-beza mengikut konsep diinginkan.

“Bonsai yang ditanam di atas batu karang mempunyai nilai lebih tinggi dari segi harga berbanding ditanam dalam pasu biasa,” katanya yang memiliki bonsai hidup berusia antara sebulan hingga 14 tahun berharga antara RM80 hingga RM1,500.

Menurutnya, menanam bonsai tidaklah terlalu sukar kerana ia boleh dibeli di nurseri atau mencarinya di kawasan persekitaran rumah, hutan, paya atau pesisir pantai.

Malah setiap bonsai memerlukan tanah yang berbeza-beza. Kelembapan tanah juga perlu dipantau dan air tidak boleh terlalu banyak untuk mengelak tanah bergumpal yang boleh mengancam tanaman.

“Pokok bonsai perlu mendapat cahaya matahari mencukupi manakala penyiramannya pula dilakukan dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang. Baja pula membabitkan baja daun, batang dan akar,” katanya.

Kamarul Bahri yang bekerja sebagai penyelia gudang turut membuat ukiran udang dan bangunan dari batu-batuan terbuang untuk menanam bonsai.

“Saya membentuk bonsai mengikut gerak hati. Biasanya saya menghabiskan waktu malam selepas Isyak untuk ‘merawat’ dan membentuk ‘buah hati’ saya ini.

“Duit hasil jualan bonsai ini saya gunakan untuk membeli baja, pasu dan alat pertukangan seperti tukul besi, pahat, pemutar skru serta dawai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:20 AM