Helmy Abd Rahman


DALAM kepala penulis, tanaman bonsai sering dibayangkan terhasil daripada pokok jenis berkayu dan berakar serta mempunyai karakter spesifik. Antaranya dahan sedikit condong dihiasi rimbunan daunan yang dibantutkan dan dimuatkan ke dalam pasu.

Tanggapan klise penulis mengenai bonsai itu bagaimanapun terpadam secara automatik tatkala melihat ‘hasil tangan’ seorang pengusaha tanaman bonsai di Rantau Abang, Dungun, Terengganu yang mengkhususkan kepada penghasilan bonsai kelapa.

Idea kreatif itu menaikkan nama Sabaharu Talib, 52, dalam kalangan komuniti peminat tanaman ‘mini’ berkenaan apatah lagi difahamkan, dia satu-satunya pengusaha tanaman bonsai kelapa di negara ini.

Sabaharu yang lebih dikenali Abas Insani dalam kalangan peminat bonsai di negara ini berkata, dia mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun menghasilkan tanaman bonsai.

Namun, katanya, hanya sekitar lima tahun lalu baharu dia mencuba menghasilkan bonsai kelapa untuk mencari kelainan.

“Di negara ini, biasanya pengusaha menjadikan banyak pokok hidup antaranya pokok bunga kertas dan cucur atap.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun dalam perniagaan tanaman bonsai yang saya usahakan di Rantau Abang.

“Malah saya hanya cuba buat bonsai kelapa sekitar lima tahun lalu selepas mendengar ada pengusaha di Indonesia gunakan tanaman itu.

“Menerusi eksperimen dan kajian yang dilakukan sendiri, saya berjaya menghasilkan bonsai kelapa seperti yang dihajati,” katanya.

Menurut Sabaharu, selepas eksperimennya menjadi dan melihat terdapat potensi besar untuk dipasarkan secara lebih meluas, dia mengambil keputusan untuk lebih serius penghasilan bonsai kelapa hampir tiga tahun lalu.

Katanya, tidak terlalu sukar menghasilkan bonsai kelapa manakala untuk baja pula, dia hanya menggunakan garam sebagai baja.

SEBAHAGIAN bonsai kelapa yang dicat dan dilukis.
SEBAHAGIAN bonsai kelapa yang dicat dan dilukis.

“Langkah pertama, kita perlu proses akar dan gunakan medium air yang membolehkan ia tumbuh lebih cepat berbanding tanah.

“Selepas dua bulan apabila sudah bertunas, bonsai kelapa itu boleh dialihkan pula ke dalam pasu.

“Supaya bonsai kelapa kekal kecil, kita perlu menyiat selaput tumbuhan itu secara berkala untuk menghalangnya daripada membesar.

“Kupas tunas di bahagian paling bawah, tapi perlu hati-hati jangan terkena pada tunas muda kerana ia boleh menyebabkan pokok mati,” kata lelaki itu.

Kata Sabaharu lagi, bonsai kelapa yang dihasilkannya dijual pada harga antara RM35 hingga paling mahal RM300 sepasu.

“Selain hiasan di rumah, banyak juga saya dapat tempahan bonsai kelapa yang dijadikan hantaran perkhawinan,” katanya. Bagi menambah ‘seri’, katanya, ada antara bonsai kelapa yang dihasilkan dicat dan dilukis.

“Tapi ada juga yang dibiarkan begitu saja kerana ramai juga pelanggan yang mahukan begitu,” katanya.

Menurutnya, selain aktif menggunakan media sosial untuk tujuan promosi, dia juga sering menghadiri pameran yang dianjurkan pelbagai agensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:31 AM