LATIP menerima anugerah Penulis Terbaik Negeri Sembilan kategori novel daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan.
LATIP menerima anugerah Penulis Terbaik Negeri Sembilan kategori novel daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan.
Oleh Rodly Fadly


KETIKA penulis generasi baru saling bersaing dan ghairah menghasilkan novel cinta dengan tajuk yang ‘menangkap’, penulis veteran, Abdul Latip Talib lebih selesa memanfaatkan bakat serta pengalamannya untuk menukilkan sesuatu yang boleh dijadikan warisan kepada generasi akan datang.

Latip, 61, atau mesra dipanggil Pak Latip, tetap teguh memperjuangkan novel berunsur sejarah walaupun kehendak pasaran menunjukkan novel remaja dan cinta lebih mendominasi.

Pak Latip tidak mudah terpesona dengan kemilau yang dinikmati penulis muda kerana bagi beliau masa untuk mengejar glamor sudah berlalu.

Sebaliknya beliau ingin mengisi usia emasnya de­ngan menghasilkan karya yang berunsur ilmiah dan boleh dijadikan panduan.

Malah, sejak zaman remajanya lagi Pak Latip tidak meletakkan glamor sebagai penanda aras dalam berkarya tapi lebih mengutamakan gabungan unsur ilmiah, sejarah, moral dan pengajaran walaupun ketika itu beliau menghasilkan novel berteraskan alam remaja.

“Memang sejak bergelar penulis pada usia belasan tahun, saya amat menitikberatkan mesej, moral dan pengajaran dalam karya. Di samping itu, saya juga selitkan unsur sejarah.

“Sejak dulu, matlamat saya menulis adalah untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, bukannya untuk me­ngejar nama atau kemewahan. Sebab itu, walaupun sudah menghasilkan banyak novel sebelum ini, ia tidak popular malah ramai yang tidak menyedari kewujudan saya sebagai penulis.

“Tapi, beberapa novel saya memenangi anugerah dan dijadikan teks sekolah. Novel Istana Menanti kini menjadi buku Komsas sekolah bagi pelajar tingkatan 1 bagi zon Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan sejak 2010 sehingga sekarang.

“Selain itu, novel Beraraklah Awan Pilu pernah memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Utusan pada 2005. Novel Randau Ruai pula pernah memenangi tempat pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak. Novel Perang Jementah dan Datuk Moyang Saleh pula merangkul hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2007.

“Terbaru pada 11 November lalu, saya dipilih sebagai Penulis Novel Terbaik pada Malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan melalui novel Leftenan Adnan Wira Bangsa. Ia penghargaan yang sangat bererti kepada saya kerana peng­iktirafan kepada perjuangan saya menghasilkan novel sejarah. Apatah lagi apabila diiktiraf oleh negeri kelahiran saya sendiri

“Malah sejak 2015, Leftenan Adnan Wira Bangsa dipilih oleh Kementerian Pendidikan sebagai novel wajib Komsas Tingkatan 4 bagi zon Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya,” ujar Pak Latip.

Penulis kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini, berkata, walaupun menghasilkan pelbagai genre penulisan seperti novel kanak-kanak, novel remaja, skrip drama televisyen, cerpen dan sajak, namun beliau akhirnya menemui kepuasan sebenar apabila menumpukan sepenuh perhatian menghasilkan novel sejarah sejak 2007.

“Apabila menulis novel sejarah, saya berasa lebih dekat dengan tokoh berkenaan walaupun tidak pernah menemui mereka. Saya dapat menghayati perjuangan mereka dengan lebih mendalam dan lebih mengagumi ketokohan mereka.

“Selalunya selain mendapatkan maklumat melalui pembacaan, saya juga akan turun ke lokasi yang dikait­kan dengan tokoh berkenaan, menemu bual orang yang mengenali mereka untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Contohnya, untuk mengenali siapa Hamka dengan lebih dekat, saya mengunjungi keluarganya di Indonesia, menemu bual anak dan saudara maranya yang masih ada di sana malah mengunjungi pusaranya,” cerita Pak Latip.

Penulis itu berkata beliau terbuka hati untuk menulis novel sejarah kerana beranggapan ia lebih menarik untuk dibaca apabila fakta dan kreativiti digabungkan.

“Buku sejarah dalam bentuk ilmiah dan intelektual memang sudah banyak dihasilkan tapi penceritaan sejarah dalam bentuk novel belum diterokai di negara kita.

“Ternyata percubaan pertama melalui novel Khalid Memburu Syahid pada 2007 membuahkan hasil dan mencetuskan fenomena baru dalam dunia penerbitan. Ia menambahkan semangat saya untuk menghasilkan tiga lagi novel sejarah Islam pada 2007 iaitu Ikramah Penentang Jadi Pembela, Tariq Menang Ataupun Syahid dan Salahudin Penakluk Jerusalem.

“Seterusnya lahirlah novel tokoh Islam yang sama-sama berjuang bersama Rasulullah SAW seperti Abu Bakar - Sahabat Sejati, Umar Al-Khattab - Reformis Dunia Islam, Khalifah Uthman Affan -Pengumpul al-Quran dan Ali bin Abi Talib - Mutiara Ilmu Islam,” katanya.

Beliau juga menghasilkan novel tokoh Islam selepas zaman Rasulullah seperti Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al Fatih, Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hambali.

Selain itu, Pak Latip turut menghasilkan novel sejarah mengenai tokoh tempatan dan Nusantara antaranya Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Leftenan Adnan serta ulama dan penulis Indonesia, Hamka.

Setakat ini Pak Latip menghasilkan hampir 50 novel sejarah sejak 2007. Terbaru, beliau melancarkan novel Imam Bukhari dan kini tekun untuk menyiapkan novel Panglima Awang.

Walaupun novel Pak Latip tidak memiliki nilai komersial sehingga mampu diangkat menjadi drama televisyen atau filem, ternyata hasil karya beliau mempunyai pengikut tersendiri. Buktinya, beberapa novelnya seperti Salahuddin Al-Ayubi , Sultan Muhammad Al-Fateh, Imam-Imam Yang Benar dan Khalifah-Khalifah Yang Benar lebih 10 kali diulang cetak.

Malah, Pak Latip boleh berbangga apabila gedung buku terkemuka di seluruh negara meletakkan novelnya di rak khas yang memaparkan namanya .

Pak Latif juga sangat terkenal dalam kalangan pelajar pusat pengajian tinggi apabila kerap dijemput oleh universiti untuk memberi ceramah serta membicarakan kisah beberapa tokoh di dalam forum yang dianjurkan.

Novel karangannya juga kerap dijadikan bahan diskusi dalam sesuatu forum apabila pelajar ‘membedah’ isi kandungannya untuk dijadikan bahan kajian ilmiah.

Beliau juga kerap menerima kunjungan ‘tetamu’ ke rumahnya terutama pada hujung minggu terdiri daripada penuntut pusat pengajian tinggi yang menjadikan beliau sebagai tempat rujukan untuk menyiapkan tesis.

Mengenai cabaran menulis novel berunsurkan sejarah, Pak Latip berkata, merakam­kan sejarah dalam bentuk novel bukan kerja mudah.

Berbeza de­ngan penghasilan novel biasa yang tidak terikat dengan fakta dan lebih bebas, novel sejarah mesti menyeimbang­kan antara fakta dan kreativiti.

“Jika menulis novel biasa, kita boleh menulis berdasarkan imaginasi, membentuk watak mengikut kemahuan kita serta mengadun cerita sesuka hati kita. Maksudnya, kita bebas mencorakkan jalan cerita novel itu.

“Tapi, menghasilkan novel sejarah kita terikat dengan fakta. Contohnya, setiap kejadian yang berlaku tidak boleh direka atau ditokok tambah. Begitu dengan dengan watak, suasana dan tempat kejadian.

“Ia memerlukan penyelidikan dan kajian, antaranya melalui pembacaan buku sejarah atau menjejakkan kaki sendiri ke tempat berlaku peristiwa itu untuk mendapat maklumat.

“Kemudian, semua fakta ini perlu diolah dalam bahasa novel. Di sinilah cabaran paling besar iaitu mengadunkan fakta dengan kreativiti. Fakta perlu tepat dan pada masa sama perlu disampaikan dalam bentuk kreatif,” jelas Pak Latip.

Beliau mengakui tidak semua dapat menerima corak penulisannya malah ia pernah menjadi perdebatan dan mencetuskan polemik apabila ada ulama dan agamawan yang mempertikaikan kesahihan fakta sejarah serta penggunaan dialog yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam novel Hijrah.

Malah mereka me­ngeluarkan ‘fatwa’ de­ngan menyatakan adalah haram berbuat demikian. Namun,Pak Latip tidak pernah melatah malah menganggap teguran atau kritikan sebagai satu proses pembelajaran.

“Jika teguran atau kritikan itu boleh memberi kesan positif, saya terima dan berusaha membaiki kelemahan diri. Saya meng­anggap setiap teguran itu, walaupun daripada seorang ulama atau agamawan, ia adalah atas kapasiti peribadi. Ini kerana, jika ada 10 ulama yang memberi pandangan yang berbeza, yang mana satukah perlu saya ikut?

“Jadi saya berpendirian, selagi pihak berkuasa seperti Jakim atau IKIM tidak pernah menolak novel saya, ia bermakna apa yang saya buat selama ini tidak menyalahi hukum Islam.

“Malah Brunei yang terkenal dengan undang-undang dan tapisan yang ketat dalam membenarkan bahan bacaan luar dibawa masuk ke negara itu, melalui Jabatan Mufti turut memberi kelulusan kepada novel saya untuk dipasarkan di sana.

“Ini menunjukkan apa yang saya tulis tidak bercanggah dengan hukum seperti didakwa,” tegas Pak Latip.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:57 AM