PENDUDUK Palestin, termasuk ibu mangsa kekejaman Israel, mengusung jenazah Amir Juneidi, yang ditembak mati selepas dituduh menyerang penduduk Israel, ketika pengebumiannya di bandar Hebron, Tebing Barat, semalam.
PENDUDUK Palestin, termasuk ibu mangsa kekejaman Israel, mengusung jenazah Amir Juneidi, yang ditembak mati selepas dituduh menyerang penduduk Israel, ketika pengebumiannya di bandar Hebron, Tebing Barat, semalam.

Baitulmaqdis: Israel merampas sejumlah besar tanah di Tebing Barat yang dijajahnya, berhampiran Laut Mati dan bandar Jericho, lapor Radio Tentera rejim Zionis itu.

Peace Now, sebuah pergerakan Israel yang menjejaki dan menentang penempatan Israel di wilayah yang ditawan rejim berkenaan berkata, kawasan seluas 579 hektar itu adalah rampasan terbesar tanah Palestin di Tebing Barat sejak beberapa tahun kebelakangan.

Menurut kumpulan itu, rancangan meluaskan penempatan Yahudi di kawasan berhampiran dan membina bangunan pelancongan serta kemudahan komersial lain di kawasan itu sudah dirancang pihak berkuasa Israel.

Dalam kenyataannya, perunding Palestin, Saeb Erekat menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel berhenti merampas tanah Palestin.

Kegiatan Israel membina penempatan Yahudi di tanah milik Palestin yang dijajahnya menjadi penghalang utama kepada rundingan damai selain turut menyebabkan keganasan meningkat.

Sejak Oktober lalu, Israel membunuh sekurang-kurangnya 184 penduduk Palestin.

Tentera rejim itu mendakwa, sebahagian mereka ditembak mati kerana menyerang dan membunuh rakyat Israel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 7:59 AM