KONSEP hiasan Eropah moden antara cabang gaya Eropah yang kelihatan klasik dan elegan.
KONSEP hiasan Eropah moden antara cabang gaya Eropah yang kelihatan klasik dan elegan.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Dekorasi Eropah moden antara yang menjadi kegemaran pemilik kediaman kerana ia tampak klasik dan kekal lama.

Penggunaan panel kayu padu berwarna putih dan hitam dalam konsep berkenaan turut mewujudkan suasana elegan.

Panel kayu padu atau ‘wainscoating’ itu nampak kemas apabila diketengahkan sebagai hiasan untuk keseluruhan ruang namun perlu sesuai reka letaknya.

Pereka hiasan dalaman Laurea Home Furnishing (Laurea) Siti Hawa Ismail berkata, kertas dinding sesuai dipadankan dengan panel kayu padu sama ada bercorak atau polos (kosong).

“Bagi menyerlahkan kelainan dekorasi pada ruang tertentu, dinding turut dipadankan dengan gambar balerina (penari balet) berbingkai hitam.

“Kemudian bingkai gambar itu diletak bersama lampu dinding bagi menyerikan bahagian dinding di ruang makan itu,” katanya.

Selain ruang makan, Siti Hawa turut berkongsi idea susun atur ruang tamu utama dan kedua mengikut konsep Eropah Moden.

Rumah mewah yang mendapat sentuhan konsep klasik dan moden itu kediaman lot banglo tiga tingkat di USJ Heights, Subang Jaya.

Idea yang diketengahkan adalah kombinasi pereka dalaman dan pemilik kediaman.

Kata Siti Hawa fokus utama hiasan dalaman ruang utama tamu pula adalah sofa tiga tempat duduk dengan fabrik baldu disusun rapat ke dinding yang mempunyai panel kayu padu bagi menjadi titik tumpuan utama ruangan berkenaan.

“Sofa utama dipadankan dengan dua kerusi berle­ngan (wing chair) menggunakan fabrik berjalur warna perak bagi mewujudkan suasana harmoni dengan sofa utama fabrik baldu dalam rona kelabu kebiruan.

“Rona warna sofa utama turut digunakan bagi fabrik Ottomen yang diletakkan berhadapan dengan langsir di ruang itu bagi melengkapkan dekorasinya,” katanya.

Gubahan orkid hiasan dengan warna kehijauan disusun bersebelahan sofa utama berlatar belakang panel kayu solid bertujuan memberi elemen segar dan hidup pada ruang itu.

“Meja konsol yang direka khas menggunakan panel kayu hitam untuk dipadankan dengan bingkai kayu yang digantung pada dinding dengan motif tulisan Jawi.

“Rekaan khas meja kopi pula berasaskan material cermin sebagai alas meja di permukaan bagi memberi kelainan,” katanya.

Bagi susun atur ruang tamu kedua, sofa dua tempat duduk dan satu tempat duduk disusun secara penjuru serta dilengkapi dengan meja kopi di bahagian tengah.

“Meja kopi disusun pada bahagian tengah dan bagi memenuhkan ruang itu dua meja sisi sebelah kiri serta kanan sofa satu tempat duduk.

“Elemen hiasan seperti pasu, gubahan bunga, bingkai gambar, lampu terendak dan bantal hiasan sofa pelbagai saiz serta corak memainkan peranan sebagai pelengkap keseluruhan ruang.

“Ketiga-tiga ruang yang dihias menggunakan motif dan rona warna yang harmoni supaya konsep Eropah moden itu tidak lari selain hiasan keseluruhan bersatu,” katanya.

Bagi melengkapkan gaya Eropah moden untuk tiga ruang berkenaan, Siti Hawa menggabungkan tiga ­warna harmoni termasuk perak, kelabu, putih dan hitam.

Dalam menyuntik impak dan menaikkan seri ruang, penggunaan kusyen sofa bercorak dengan campuran pelbagai warna direka khas selain disusun pada sofa serta kerusi berlengan (wing chair).

Fabrik langsir juga memainkan peranan dalam dekorasi bagi mewujudkan suasana harmoni dalam gaya Eropah moden. Antara fabrik yang bersesuaian baldu dengan rona kelabu.

“Bagi menampakkan dimensi berbeza, fabrik langsir berkenaan dilapis dengan sedikit sempadan baldu hitam supaya kelihatan kontra,” kata Siti Hawa.

Sebarang maklumat lanjut boleh kunjungi Laurea di Jalan Putra Mahkota 7/4A, Putra Heights Subang Jaya atau layari www.laurea homefurnishing.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 5:47 AM