MOTIF damask turut digemari dengan warna emas dan perak menjadi fokus utama corak itu.
MOTIF damask turut digemari dengan warna emas dan perak menjadi fokus utama corak itu.
PILIHAN fabrik dan corak langsir yang sesuai mampu memberi keseimbangan dalam hiasan dalam sesebuah ruang.
PILIHAN fabrik dan corak langsir yang sesuai mampu memberi keseimbangan dalam hiasan dalam sesebuah ruang.
KAIN corak kosong atau plain sesuai dengan konsep minimalis yang tidak luput dek zaman.
KAIN corak kosong atau plain sesuai dengan konsep minimalis yang tidak luput dek zaman.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Pelbagai elemen perlu dititikberatkan dalam memilih langsir sesuai untuk ruang kediaman mahupun pejabat.

Bermula dengan jenis langsir itu sendiri, hinggalah ke pemilihan warna, ia bukan saja berfungsi menghalang pandangan terus ke dalam ruang malah menjadi penyeri dekorasi.

Lantas pemilihan fabrik dan corak bersesuaian penting supaya ia tidak kelihatan kekok dan terasing dengan perabot atau kelengkapan rumah yang lain.

Antara fabrik yang sering menjadi pilihan dan mudah didapati di pasaran adalah jenis poliester, sutera, linen, satin, scotchgard (kalis air) dan campuran.

Pemilihan bersesuaian dengan reka bentuk pula penting kerana sesetengah fabrik lebih ringan dan mudah beralun berbanding yang lain.

Ia juga perlu mudah digabungkan dengan sebarang penggantung seperti rod kayu yang lebih sesuai dengan fabrik jenis sutera atau linen menerusi corak sheer atau nipis.

Namun, corak atau motif tidak seharusnya dipandang ringan kerana corak yang berat sukar mengimbangi suasana ruang dan pemilihan yang sesuai mampu mengelakkan bilik umpamanya kelihatan serabut.

Antara yang sering menjadi pilihan adalah bunga dan geometri kerana lebih sesuai untuk hiasan yang tidak sarat.

Malah, corak itu perlu diselarikan dengan kehadiran sofa dan kertas dinding latar polos kerana ia berupaya menonjolkan idea dekorasi yang cuba diketengahkan.

Selain itu, corak ‘damask’ turut menjadi kegemaran ramai kerana ia lebih menyerlahkan aura eksklusif sebaik digabungkan dengan perabot klasik jati.

Corak langsir berkenaan juga kebiasaannya bersulam dengan warna emas atau perak, jadi ia tampak lebih mewah.

Bagi corak kosong pula, ia lebih malar segar dan tahan lama kerana gaya atau konsep minimalis antara yang tidak lapuk ditelan zaman.

Penggunaan ambal atau sofa bercorak membantu melengkapkan langsir yang kosong dan memberi keseimbangan dalam ruang berkenaan.

Paling penting kesesuaian padanan langsir dengan konsep dekorasi pilihan supaya persekitaran sentiasa berseri sepanjang masa.

Menurut Pereka Hiasan Dalaman Laurea Home Furnishing (Laurea), Siti Hawa Ismail, konsep dan corak langsir yang tidak akan luput adalah corak minimalis atau kosong.

“Kalau nak menghias ruang supaya ia kelihatan segar sepanjang masa dan tahan lama gunakan konsep serta langsir minimalis kerana ia tidak lapuk.

“Pilih perabot kemasan dinding dan langsir yang kosong supaya ia bukan saja dapat tahan lama malah jika ditukar tidak kelihatan kekok.

“Gabungan warna harmoni dan pastikan rona itu dipilih berupaya menghidup­kan ruang kediaman anda mengikut saiz keluasannya,” katanya.

Siti Hawa berkata, aliran pada tahun ini turut menampakkan gabungan dua warna dalam satu kain langsir dapat menaikkan suasana bilik terutamanya apabila digayakan secara minima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:02 AM