SURA Sojangi.
SURA Sojangi.
Syanty Octavia Amry


Kurang dikenali walaupun sudah lama membabitkan diri dalam bidang seni membuatkan ramai tidak tahu pelakon Sura Sojangi, 26, sudah pun bergelar isteri.

Mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu, pemilik nama penuh Maisurah Sojangi itu bagaimanapun enggan mendedahkan siapa gerangan suaminya.

Baginya, cukuplah dia seorang sahaja yang dikenali namun mengakui suaminya juga terbabit dalam bidang seni.

“Ya, saya sudah berkahwin tahun lalu. Siapakah gerangan orangnya biarlah saya saja yang tahu. Bukan hendak berahsia tetapi biarlah orang lebih mengenali saya kerana bakat dan lakonan.

“Lagipun siapalah saya untuk terlalu menghebohkan perkahwinan. Pun begitu, teman dan orang sekeliling tahu siapa dia,” katanya.

Sedar dirinya belum punya tapak yang kukuh, bekas peserta program Pilih Kasih musim ketiga itu akur perlu berusaha lebih keras.

Bagaimanapun, dia bersyukur rezekinya tidak pernah putus malah Suhan Movies & Trading Sdn Bhd banyak memberi peluang kepadanya menjayakan drama terbitan produksi itu.

“Saya gembira, walaupun orang tidak kenal tawaran berlakon tetap ada. Bohonglah kalau saya kata populariti tidak penting, tetapi biarlah orang lebih menilai bakat saya.

“Sudah banyak drama saya jayakan namun mungkin belum ada rezeki untuk menempa nama.

“Apa pun saya tidak kecewa sebaliknya akan terus bekerja keras. Tidak hanya Suhan Movies, saya turut menerima tawaran daripada produksi lain. Justeru, saya berharap tidak ada mana-mana produksi bimbang untuk ambil saya berlakon,” katanya.

Menurut Sura lagi, dia kini sibuk dengan penggambaran drama 13 episod, Mr Tanda Soal yang bakal bersiaran di TV3, Ramadan nanti.

“Selain Mr Tanda Soal, saya turut menjayakan drama Dawai Asmara.

“Ini adalah kali pertama saya bawa watak komedi dalam Mr Tanda Soal. Ia pengalaman baru buat saya.

“Walaupun watak saya ringan, besar juga cabarannya kerana sudah terbiasa dengan karakter berat sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:34 AM