Paris: Jurulatih Paris Saint-Germain Laurent Blanc yakin pasukannya mampu meningkatkan permainan apabila bertemu Barcelona bulan depan dalam usaha memburu keputusan sekurang-kurangnya seri untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selaku pendahulu Kumpulan F.

Kedua-dua pasukan sudah layak apabila menang ke atas lawan masing-masing awal pagi semalam. PSG mengatasi Ajax 3-1 manakala Barcelona membelasah APOEL Nicosia 4-0.

Juara Perancis itu satu mata mengatasi Barca di persada kumpulan dan bermakna seri di Nou Camp dua minggu lagi menyaksikan mereka akan melangkah selaku juara kumpulan buat kali ketiga berturut-turut.

Jaringan Edinson Cavani serta Zlatan Ibrahimovic memberikan PSG kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan selain mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

“Saya rasa, kami menentang pasukan yang bermain lebih baik berbanding kami dan kami tidak berbahaya,” kata Blanc yang menyaksikan Davy Klaasen menyamakan kedudukan ketika menghampiri masa rehat sebelum Ibrahimovic dan Cavani menjaringkan gol pada babak kedua.

Mengenai pertemuan dengan Barcelona yang pernah ditundukkan 3-2 oleh PSG di Parc des Princes September lalu, Blanc berkata: “Buat masa ini, lebih baik kami meraikan kemenangan ini dulu. Kami ada perlawanan liga tempatan untuk diselesaikan sebelum memikirkan soal Barcelona.

“Antara sekarang dan 10 Disember, walaupun ia tidak jauh, kami pasti meningkat. Barcelona pasti menyukarkan kami seperti yang pernah mereka lakukan tetapi kami juga mampu membuatkan mereka mengeluh. Perlawanan itu pasti seronok untuk disaksikan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:25 AM