LAM
LAM

Surrey: Seorang doktor semalam dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan tidak bermoral - mengintai dan merakam lebih 1,000 mangsanya secara rahsia di seluruh negara semalam.

Perunding Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS), Dr Lam Hoe Yeoh, 62, menghabiskan masa selama tiga tahun merakamkan aksi peribadi pesakit, rakan sekerja dan juga kanak-kanak semuda tiga tahun.

Pakar terkenal itu menggunakan kamera kecil dan menyembunyikannya di dalam tandas untuk memuaskan nafsu seksualnya.

Dia memasang kamera berkenaan di tandas hospital, pejabat, bilik mandi rumahnya dan juga kereta api yang selalu dinaikinya.

Lam ialah pakar perunding perubatan dalam bidang masalah pendengaran selepas datang ke Britain dari Malaysia ketika berusia 25 tahun.

Kerjayanya musnah apabila kamera ditemui dalam tandas awam di Hospital St Anthony di Cheam, Surrey pada 14 April lalu.

Ketika dia ditahan polis, Lam berkata: “Adakah saya akan dipenjarakan? Saya begitu bodoh. Jangan beritahu hal ini kepada keluarga saya. Ia bukan serius. Saya tidak boleh ke penjara.”

Antara mangsanya, termasuk kawan sekerja yang dipelawa menghadiri majlis sosial di rumahnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:05 AM