Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Kenaikan harga barang tidak menjejaskan seorang peniaga untuk mengusahakan gerai sarapan pagi dengan menjual kesemua juadah pada harga RM1.

Muhammad Amirul Hafizuddin Mohd Zabri, 20, berkata dia membuka gerai di hadapan Masjid Al-Muttaqin Kampung Kepong, di sini, dengan menawarkan lebih 50 juadah seperti kuih-muih, pelbagai nasi dan air yang siap dibungkus.

Menurutnya, idea untuk menjual sarapan pagi pada harga RM1 timbul selepas tamat persekolahan kerana pernah membeli juadah pagi berharga RM1 ketika di bangku sekolah ketika itu.

"Bermula dengan sebuah meja kecil dan sebuah kanopi, saya tekad untuk sama-sama membantu menyediakan sarapan mampu milik, namun rasa juadah yang dijual ini sama seperti sarapan lain yang dijual melebihi RM1.

"Alhamdulillah, sudah dua tahun saya mengusahakan gerai ini, walaupun untungnya tipis, namun saya amat berpuas hati kerana dapat membantu meringankan beban pengguna.

"Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, sudah tentu terbeban untuk membeli juadah dalam kuantiti banyak, namun dengan adanya sarapan dengan harga RM1, saya yakin ia dapat mengurangkan kos perbelanjaan pembeli," katanya.

Menurutnya, selain berniaga di Jalan Kepong, dia mempunyai satu lagi cawangan di Jalan Pengadang Baru, yang mana cawangan itu dikendalikan oleh ibunya Cheku Zaini Cheku Mansor, 44.

Katanya, dia berhajat untuk membuka satu lagi cawangan, namun masih berkira-kira kerana tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi.

"Rata-rata pelanggan berpuas hati kerana mereka boleh membeli pelbagai jenis kuih atau nasi hanya dengan harga RM1.

"Ini kerana kita sedia maklum mengenai kenaikan harga barangan, namun ianya bukan halangan untuk pengusaha kuih-muih dan aneka nasi untuk menyediakan hidangan mengikut harga munasabah.

"Walaupun untung sedikit, sekiranya jualan laris dan semuanya habis dijual ianya tetap menguntungkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 12:57 PM
Gerai sarapan pagi RM1 yang diusahakan Muhammad Amirul Hafizuddin Mohd Zabri, 20, di Jalan Kepong. FOTO NAZDY HARUN
Gerai sarapan pagi RM1 yang diusahakan Muhammad Amirul Hafizuddin Mohd Zabri, 20, di Jalan Kepong. FOTO NAZDY HARUN