Kereta dibakar di kedai kenderaan terpakai.
Kereta dibakar di kedai kenderaan terpakai.
Seorang anggota polis mengarahkan penunjuk perasaan berundur.
Seorang anggota polis mengarahkan penunjuk perasaan berundur.
Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk menunjukkan diskriminasi kulit putih terhadap warga Afrika Amerika.
Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk menunjukkan diskriminasi kulit putih terhadap warga Afrika Amerika.
AP

Missouri: Penunjuk perasaan semalam membakar bangunan dan kereta serta menjarah kedai di Ferguson selepas panel juri memutuskan untuk tidak mendakwa anggota polis yang menembak mati remaja Afrika Amerika berusia 18 tahun dalam kejadian yang mencetuskan perbalahan etnik antara penduduk kulit hitam dengan polis.

Api marak sepanjang malam di Ferguson selepas Pendakwa Daerah St Louis Bob McCulloch mengumumkan pihaknya tidak akan mengenakan tuduhan terhadap anggota polis itu, Darren Wilson.

Dia menegaskan juri bertemu setiap minggu sejak 20 Ogos lalu untuk mendengar kenyataan setiap saksi dan mengkaji semua bukti.

“Ramai saksi yang memberikan kenyataan bercanggah dan tidak konsisten dengan bukti fizikal dikemukakan,” katanya.

Ibu Brown, Lesley McSpadden yang menunggu di luar bersama orang ramai menangis dan menjerit selepas keputusan itu diumumkan sebelum dibawa pergi oleh ahli keluarganya.

Gabenor Missouri, Jay Nixon mengisytiharkan darurat sementara di bandar Ferguson.

Ketua Polis Daerah St Louis Jon Belmar berkata, protes terbaru itu jauh lebih teruk berbanding demonstrasi diadakan selepas kematian Brown, Ogos lalu.

Polis dikecam hebat kerana menggunakan gas pemedih mata dan kereta kebal untuk menyuraikan orang ramai.

Ratusan tembakan turut kedengaran menyebabkan bomba terpaksa menunggu untuk memadam api.

Wilson menembak mati Brown pada 9 Ogos lalu seterusnya mencetuskan debat mengenai layanan polis terhadap pemuda kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) dan membangkitkan semula ketegangan etnik bukan saja di Ferguson malah juga seluruh negara itu, empat dekad selepas pergerakan hak sivil AS pada 1960-an dikuatkuasakan.

Sementara itu, Obama dalam satu kenyataan dari Rumah Putih meminta rakyat AS mengetepikan perasaan marah dan menerima keputusan juri itu.

“Tiada apa-apa yang dapat dicapai dengan membaling botol, memecahkan tingkap atau kereta. Negara kita berteraskan kedaulatan undang-undang jadi kita perlu terima bahawa keputusan itu sepenuhnya terletak di tangan juri,” katanya.

Ibu bapa Brown turut menggesa semua pihak bertenang

“Kami amat kecewa dengan keputusan itu, tetapi tolonglah tunjukkan kekecewaan anda dengan cara yang mampu membawa perubahan positif. Kita perlu membaiki sistem ini kerana itulah punca sebenar tragedi,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Penunjuk perasaan membanjiri jalan raya, merempuh sekatan dan menghina polis. Ada yang melaung ‘pembunuh’ manakala yang lain membaling batu dan botol atau memecahkan tingkap kereta polis.

Ribuan orang memprotes dari Los Angeles sehingga New York termasuk berarak dan melaungkan ‘Hands Up! Don’t Shoot’ (Angkat tangan, jangan tembak) - slogan yang sering digunakan dalam kes membabitkan kematian akibat perbuatan polis.

Ini bukan kali pertama protes diadakan berhubung kes seperti itu malah pembunuhan seorang lagi remaja kulit hitam, Trayvon Martin, oleh anggota rukun tetangga di Florida pada 2013 turut melihat demonstrasi aman diadakan di seluruh negara.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melencongkan sekurang-kurangnya 10 penerbangan ke St Louis disebabkan laporan bahawa senjata api ditembak ke udara.

Pihak berkuasa mendedahkan lebih 1,000 halaman dokumen juri termasuk keterangan Wilson yang tidak dilihat di khalayak ramai sejak kejadian itu.

Wilson dalam keterangannya berkata kejadian tercetus selepas dia melihat Brown dan rakannya berjalan di tengah jalan raya. Dia meminta mereka berjalan di kaki lima namun Brown memakinya.

Kenyataan saksi bercanggah sama ada Brown menyerang Wilson atau tangannya sebenarnya diangkat tanda menyerah kalah.

Sementara itu, Peguam Negara Eric Holder mengetuai siasatan berasingan untuk memastikan sama ada berlaku pelanggaran hak sivil seterusnya membolehkan pendakwaan persekutuan dibuat terhadap Wilson.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:06 AM