Bank-bank di Malaysia hadapi operasi sukar namun berdaya tahan. - Foto Fail
Bank-bank di Malaysia hadapi operasi sukar namun berdaya tahan. - Foto Fail
BERNAMA

Singapura: Bank-bank Malaysia dijangka berada dalam keadaan operasi sukar tahun ini, menurut Standard & Poor's Ratings Services (S&P's) hari ini.

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan, diburukkan lagi dengan permintaan lemah di China dan penurunan harga komoditi mempengaruhi sentimen perniagaan dan pengguna, kata syarikat penarafan itu.

Bagaimanapun, S&P's percaya sektor perbankan di Malaysia kekal berdaya tahan.

"Penarafan bank akan terus disokong paras modal kukuh serta pembiayaan dan profil mudah tunai yang mantap.

"Langkah pengawal seliaan yang mengandungi hutang isi rumah dan harga hartanah juga terbukti berkesan dalam menguruskan ketidakseimbangan ekonomi dan gelembung harga," kata Penganalisis Kreditnya Ivan Tan.

S&P's berkata, pertumbuhan pinjaman dalam sektor perbankan Malaysia mungkin sederhana kepada 6.0 peratus hingga 8.0 peratus tahun ini (purata lima tahun 10 peratus) berikutan ketidaktentuan luaran mengenai kenaikan kadar Fed AS dan pengimbangan semula ekonomi di China.

"Kami mengunjurkan peningkatan secara berperingkat dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) kepada 2.0 peratus hingga 2.5 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, daripada 1.6 peratus dalam laporan terkini Bank Negara Malaysia bagi November 2015.

"Pada pandangan kami, asas kredit bank-bank Malaysia akan kekal stabil bagi tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang. Permodalan dan mudah tunai sistem perbankan yang mencukupi menyediakan landasan kukuh untuk menghadapi tekanan penurunan," kata Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 9:00 PM