GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tahun 2022 terus membuktikan keupayaan bank-bank Malaysia kekal teguh berperanan sebagai tulang belakang kewangan negara selain menyokong pemulihan ekonomi dengan menyediakan mudah tunai yang diperlukan pasaran.

Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan sistem perbankan dapat mengekalkan kedudukan mudah tunai sihat dengan mencatat nisbah liputan kecairan kukuh sebanyak 152.5 peratus pada September iaitu kedudukan yang terus menyokong aktiviti pengantaraan.

Pertumbuhan deposit yang berterusan dalam senario pemulihan aktiviti ekonomi, juga terbukti kekal menyokong kegiatan pinjaman oleh bank-bank.

Selain itu, agregat nisbah pinjaman-kepada-dana juga stabil pada 82.5 peratus dalam September (berbanding Ogos : 82.6 peratus).

Pertumbuhan OPR, Pinjaman

Jika diamati, langkah BNM meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas sebanyak empat kali pada tahun ini yang mencecah 2.75 peratus ketika ini, juga memberi manfaat kepada sektor perbankan dengan margin faedah bersih dijangkakan terus meningkat.

Menurut penganalisis, biarpun kenaikan OPR berkemungkinan menjejaskan permintaan kredit, ini sebaliknya tidak akan menjejaskan momentum pertumbuhan pinjaman.

Pada September misalnya, pinjaman meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun dan 0.6 peratus bulan ke bulan manakala bagi asas tahunan mencecah 5.8 peratus.

Bersandarkan angka sedemikian, tidak hairanlah pihak seperti S&P Global Ratings positif terhadap prospek bank-bank Malaysia dengan mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan kekal pada 5.0-6.0 peratus pada 2023.

Malah, ia mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara dalam tiga tahun akan datang serta penampan serta penyediaan modal yang kukuh akan dapat mengimbangi sebarang kemungkinan berlakunya tekanan kualiti aset.

Agensi penarafan kredit itu turut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.6 peratus tahun ke tahun pada 2022 serta tumbuh purata 4.5 peratus bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Kestabilan ekonomi akan menyokong kebolehpercayaan kredit perniagaan dan pengguna Malaysia," katanya.

Agensi itu turut menjangkakan pendapatan bank-bank tempatan akan meningkat susulan kenaikan margin serta kos kredit yang lebih rendah.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Ekuiti Kenanga Research Clement Chua Min Tze memberitahu Bernama bahawa bank-bank terbabit akan mencatat keuntungan operasi lebih baik pada tahun ini, didorong oleh portfolio pinjaman lebih besar serta margin faedah selain meraih manfaat daripada peningkatan OPR.

Tidak ketinggalan, keperluan peruntukan lebih rendah bagi tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan juga dijangka memberi manfaat dengan kemungkinan kemasukan pesanan tahun-tahun sebelumnya secara berperingkat.

Namun, katanya, pinjaman bersih akan dijejaskan oleh pelaksanaan Cukai Makmur pada 2022 yang menyebabkan segelintir bank melaporkan prestasi yang tidak berubah atau berkurangan.

Langkah memperketat monetari berkemungkinan besar memberi tekanan kepada pinjaman isi rumah sebelum menjejaskan selera perniagaan mengambil pinjaman bagi separuh kedua 2023 apabila OPR diunjur stabil pada 3.00 peratus selepas satu lagi kenaikan pada separuh pertama 2023, katanya.

Berikutan itu, kenaikan kadar berkenaan akan menyokong dari segi keuntungan dan meredakan beberapa tekanan di tengah-tengah persaingan mendapatkan deposit rendah, kata Chua.

Tiga bank utama Malaysia - Maybank, Public Bank dan CIMB, diunjur meneruskan pertumbuhan pinjaman dan simpanan yang dipacu oleh bahagian mereka sebagai peneraju pasaran baik dalam segmen korporat dan isi rumah yang berkemungkinan besar menyaksikan peralihan kepada yang bersaiz kecil.

"Turut berlaku adalah kenaikan kadar faedah secara meluas di peringkat industri serta peruntukan lebih kecil yang membantu menyokong pendapatan dalam tahun-tahun akan datang.

"Kami percaya risiko terhadap sektor itu adalah ianya menjadi amat makro seperti kemelesetan global dan ketidakstabilan harga komoditi berikutan kesan langsungnya terhadap sistem kewangan. Oleh itu, masih terdapat potensi untuk meraih manfaat daripada sentimen positif daripada perkembangan seperti pembukaan semula ekonomi China," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed menyifatkan ekonomi dunia akan terus mengalami turun naik ekonomi serta kewangan bagi tempoh beberapa tahun akan datang dan hanya dijangka pulih menjelang 2026 hingga 2027.

Bagaimanapun, industri kewangan dijangka kekal kukuh dan meraih keuntungan walaupun landskap makroekonomi yang mencabar.

"Di satu sudut lain pula, bank-bank di Barat berdepan banyak cabaran seperti penyusutan ketara dalam permodalan pasaran selepas Credit Suisse dan Citibank bertindak keluar dari kebanyakan pasaran Asia.

"Bank-bank serantau di ASEAN pula mencatat prestasi memberangsangkan dengan meraih keuntungan ketara serta pengambilalihan yang berlaku di peringkat pasaran serantau," katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar bank serantau seperti Maybank, CIMB dan RHB mencatat angka prestasi kewangan suku ketiga tahun kewangan 2022 yang kukuh, sekali gus memaparkan pencapaian kukuh dari segi bahagian pasaran, keuntungan serta jumlah pengguna.

"ASEAN kekal sebagai tumpuan kebanyakan bank di serata dunia berikutan saiz KDNK sekitar US$3.5 trilion hingga US$4.1 trilion menjelang 2025.

"Ini memberi dorongan kepada bank-bank untuk memberi kemudahan di rantau ini dengan kredit kewangan dan memajukan ekonomi," katanya.

Kemunculan bank-bank digital

Pada 29 April lepas, BNM mengumumkan lima penerima lesen perbankan digital baharu di Malaysia iaitu konsortium Boost-RHB Bank; konsortium GXS Bank-Kuok Brothers; konsortium Sea Ltd-YTL, konsortium AEON dan konsortium KAF Investment Bank.

Bank-bank digital ini tertakluk kepada fasa asas atau awal selama tiga hingga lima tahun dengan saiz aset masing-masing dihadkan pada RM3 bilion.

Firma-firma penyelidikan bagaimanapun kekal positif terhadap sektor perbankan tradisional dan melihat penerima lesen bank digital terbabit dijangka tidak memberi impak ketara terhadap pertumbuhan bank sedia ada.

"Pada peringkat awal, memang diakui bahawa bank-bank digital ini tidak mungkin menjadi ancaman utama. Biarpun ia boleh mencatat pencapaian seperti produk simpanan yang amat kompetitif, namun kekangannya dari segi saiz aset yang dihadkan pada RM3 bilion sebagaimana ditetapkan pada fasa awal BNM, berkemungkinan menyekat sebarang strategi yang agresif.

"Selain itu, keutamaannya yang menyaksarkan pinjaman mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, boleh menyebabkannya tersisih daripada pasaran utama perumahan dan pinjaman korporat besar yang diraih oleh bank tradisional dalam tahun-tahun awal.

"Oleh itu, bank-bank ini secara beransur-ansur membuktikan kemampuan dengan aspek kecekapan digital lebih ketara manakala ciri-ciri hiper dilihat memberi pertimbangan yang lebih besar," kata Chua.

Personaliti silih berganti

Tidak ketinggalan, 2022 turut diwarnai dengan berita pelantikan dan peletakan jawatan beberapa personaliti perbankan di kedudukan pengurusan utama masing-masing.

Ini termasuk peletakan jawatan Datuk Seri Abdul Farid Alias sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank selepas menerajui bank terbesar Malaysia selama hampir sembilan tahun.

Tempat beliau digantikan oleh Datuk Khairussaleh Ramli yang berkuatkuasa pada 1 Mei lepas.

RHB Banking Group pula melantik Mohd Rashid Mohamad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Kumpulan berkuatkuasa 1 April bagi menggantikan Khairussaleh yang meninggalkan kumpulan itu pada 25 Mac 2022.

Agrobank pula menyaksikan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai Presiden dan CEO baharu berkuatkuasa pada 3 Januari lepas.

AmBank Group mengumumkan pelantikan Pengerusi baharu, Tan Sri Md Nor Yusof pada 29 April lepas manakala United Overseas Bank (M) Bhd melantik Ng Wei Wei sebagai CEO wanita pertamanya berkuatkuasa pada 1 Mei 2022.

Selain itu, Bank Rakyat menamakan Mohammad Hanis Osman sebagai CEO baharunya berkuatkuasa pada Julai dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd melantik Arshad Mohamed Ismail sebagai presiden dan CEO berkuatkuasa pada 1 Ogos lepas.

Standard Chartered Bank Malaysia melantik Mak Joon Nien sebagai pengarah urusan baharu dan CEO berkuatkuasa 18 Ogos 2022 yang turut menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama menggalas tugas sebagai CEO di bank itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 11:58 AM