PEKERJA kilang menunggu giliran pada Pikas di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. Seramai 30,000 pekerja sektor industri di  Kuala Muda termasuk warga asing menerima vaksin secara berperingkat bermula 26 Julai lalu.
PEKERJA kilang menunggu giliran pada Pikas di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. Seramai 30,000 pekerja sektor industri di Kuala Muda termasuk warga asing menerima vaksin secara berperingkat bermula 26 Julai lalu.

Kuala Lumpur: Penutupan kilang sepenuhnya hanya memberi impak minimum kepada kawalan penularan Covid-19, tetapi kesannya sangat besar kepada pekerja yang kehilangan mata pencarian dan rantaian bekalan terutama bekalan asas.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun penularan melalui sektor pembuatan bukan punca utama penularan Covid-19, kerajaan tidak mengambil mudah langkah mengurangkan kadar jangkitan di tempat kerja.

"Kerajaan melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Covid-19 bagi mempercepat vaksinasi khususnya bagi golongan pekerja apabila kerajaan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang memudah cara urusan logistik yang berkaitan," katanya dalam laporan Laksana ke-63, semalam.

Selain Pikas, kerajaan mengumumkan inisiatif seperti Safe@Work dan insentif potongan cukai bagi ujian saringan.

Kerajaan juga bersetuju memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh majikan.

Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.

Setakat 23 Julai lalu, 16,697 syarikat membabitkan lebih 1.2 juta pekerja berdaftar dengan Pikas.

Daripada jumlah itu, 255,705 pekerja menerima dos pertama dan 20,832 menerima dos kedua.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya mengakui kepentingan mengesan lokasi atau lokaliti di mana tindakan bersasar bagi kawalan dan pencegahan dapat dilaksanakan, namun apa yang lebih kritikal ialah jumlah mutlak kes di mana kes sporadik dalam komuniti yang menyumbang kepada 70 peratus kes keseluruhan Covid-19.

"Jika dilihat berdasarkan data dari KKM, kes penularan yang membabitkan sektor pembuatan hanya lima hingga 10 peratus dari jumlah kes keseluruhan.

"Oleh itu, tanggapan bahawa kilang punca utama jangkitan Covid-19 dalam masyarakat sebenarnya jauh tersasar," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, tahap keyakinan pelabur tidak terjejas walaupun ketika persekitaran mencabar akibat Covid-19 di Malaysia.

Katanya, pelabur asing melihat prospek pemulihan ekonomi negara yang kekal kukuh ketika ini.

"Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P (S&P Global Ratings) dan juga Moody's (Moody's Investors Service) masing-masing memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Minggu lalu, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.

"Penarafan sebegini bukan calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap 'gagal'. Asas ekonomi negara masih teguh.

"Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modal masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:34 AM