PROJEK KL Metropolis bakal jadi tumpuan perdagangan dan pameran antarabangsa.
PROJEK KL Metropolis bakal jadi tumpuan perdagangan dan pameran antarabangsa.

Kuala Lumpur: Projek pembangunan KL Metropolis meliputi kawasan seluas 30.55 hektar yang dikendalikan Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI) terus mendapat perhatian industri hartanah berikutan perjanjian pembangunan bersama dengan Hap Seng Land Development Sdn Bhd (Hap Seng) yang turut membangunkan kawasan 3.62 hektar dalam pelan induk projek berkenaan.

Sebelum ini, dua kerjasama sedia terjalin bersama Nusmetro Property Sdn Bhd (Nusmetro) dan Keystone Impectus Sdn Bhd (Keystone) masing-masing dengan kawasan pembangunan seluas 1.33 hektar dan 1.01 hektar.

Projek kendalian Nusmetro meliputi pembangunan bercampur terdiri daripada tiga menara ikonik yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019 manakala Keystone pula akan mendirikan dua blok bangunan pejabat berstrata yang bakal siap pada 2021.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, ketiga-tiga kerjasama itu meliputi kawasan berkeluasan 6.07 hektar dan ia bakal menjadi pemangkin dalam mempercepatkan kemajuan projek KL Metropolis dalam fasa pembangunan pertama.

“Perkara ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melihat KL Metropolis menjadi kawasan tumpuan perdagangan dan pameran antarabangsa bertaraf dunia bagi Kuala Lumpur.

“Selain itu, kami teruja dengan pembangunan ruang pameran terbesar negara di KL Metropolis iaitu Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang kini 88 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya pada Jun tahun ini berserta kemudahan infrastruktur jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, Naza TTDI merancang membangunkan tanah 1.74 hektar yang lain di KL Metropolis iaitu dua menara komersial dan satu blok pangsapuri perkhidmatan mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

“Pelancaran pangsapuri perkhidmatan berkenaan dijangka pada akhir tahun ini dan siap dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:04 AM