Nabihah Kamal

Selayang: "Dalam keadaan pisau di leher, mereka meminta jangan berbuat apa-apa sebelum mengarahkan saya menanggalkan pakaian," kata lelaki berusia 57 tahun yang juga pensyarah kolej di Ipoh, Perak yang disamun dua lelaki di Batu Caves, semalam.

Dalam kejadian pada 7 pagi itu, keretanya turut dilarikan.

Menurutnya, dia datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dan tinggal di pangsapuri anaknya di Batu Caves sejak Selasa lalu.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke keretanya jenis Honda Accord, dua lelaki warga tempatan menghampirinya.

"Seorang daripada mereka meletakkan pisau di leher dan mengarahkan saya masuk ke dalam kereta sebelum menyelongkar kereta saya. Dalam dompet saya hanya ada RM70 dan memaksa saya mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Saya dipaksa memandu ke sebuah stesen minyak dan menyuruh saya meminta anak lelaki saya memasukkan wang.

"Sebaik anak memasukkan wang, mereka pergi ke dua ATM berbeza untuk mengeluarkan wang berjumlah RM2,000," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menurutnya, dia disuruh memandu ke jalan menghala ke Gombak sebelum dipaksa berhenti di lampu isyarat untuk mengambil seorang rakan mereka.

"Mereka memaksa saya membuka baju, stoking dan kasut sebelum membawa saya keluar dari kenderaan dan pergi ke kawasan semak.

"Saya menggunakan peluang itu untuk melarikan diri hingga menyebabkan saya terjatuh dan menjerit.

"Orang awam yang berada di bengkel berhampiran lokasi kejadian datang menyelamatkan saya sebelum suspek cabut lari bersama kereta," katanya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, polis sedang mengesan suspek dan kereta yang dilarikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:06 PM