Bangi: Tindakan seorang lelaki menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik isterinya dipercayai untuk menyamun seorang warga Nepal di Bandar Baru Bangi, di sini, Jumaat lalu, mengundang padah apabila dia ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas kejadian itu.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi, suspek bersama tiga rakannya dikatakan menarik mangsa berusia 32 tahun ke dalam Proton Exora ketika dia berjalan ke tempat kerja di sebuah kilang plastik di Seksyen 12, Bandar Baru Bangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, seorang daripada suspek mengacu pisau ke leher mangsa dan memintanya supaya tidak melawan.

“Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan kad ATM serta nombor pin,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah stesen minyak di Seksyen 16 sebelum seorang suspek mengeluarkan wang tunai milik mangsa berjumlah RM600.

“Selepas membuat pengeluaran itu, mangsa dihantar semula ke lokasi dia dilarikan.

“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya.

Willey berkata, berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang diperoleh mangsa, semakan mendapati ia milik seorang wanita.

“Siasatan lanjut mendapati kenderaan itu digunakan suaminya. Polis kemudian memanggil lelaki itu dan pada awalnya dia setuju memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun, lelaki itu tidak berbuat demikian menyebabkan dia ditahan di rumahnya di Seksyen 11, Bandar Baru Bangi pada malam kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha mengesan tiga lagi suspek yang terbabit dalam kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 6:39 AM