SHAWN bersama Isadora menunjukkan hidangan sorbet espresso dengan coklat Tanzania serta kaviar delima dan coklat Belgian.
SHAWN bersama Isadora menunjukkan hidangan sorbet espresso dengan coklat Tanzania serta kaviar delima dan coklat Belgian.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Terkenal dengan keunikan dan kemewahan rasanya, Magnum ingin terus memberikan peminat aiskrim pengalaman nikmat coklat terhebat.

Justeru ia memperkenalkan dua perisa aiskrim terbaru iaitu Magnum Pink dan Magnum Black yang boleh didapati dalam dua warna berbeza, setiap satu dicipta dengan penuh ketelitian, khususnya untuk melengkapkan personaliti berbeza setiap individu pada detik berbeza dalam sehari.

Menerusi sesi pengalaman eksklusif cita rasa gastronomi molekular di Magnum Kuala Lumpur baru-baru ini dimulakan dengan sesi Magnum Moodology satu ujian mood atau personaliti yang menyeronokkan direka khusus untuk membantu pencinta aiskrim mengenal pasti warna Magnum Mood mereka pada waktu terbabit.

Seterusnya tetamu diperkenalkan kepada keunikan seni gastronomi molekular yang menakjubkan oleh Cef Isadora Chai, seorang cef dan pemilik restoran. Beliau berkongsi bagaimana personaliti dan mood berbeza setiap individu yang dipersembahkan oleh Magnum Pink dan Magnum Black memberikan inspirasi kepadanya untuk mencipta dua pemanis mulut yang menyerlahkan setiap personaliti itu.

Melalui demonstrasi teknik kulinari molekular yang digunakan oleh Isadora, kombinasi pilihan bahan eksotik dipadankan dengan nikmat cita rasa penuh kemewahan coklat Belgian Magnum yang ikonik bersama coklat Tanzania yang terhasil daripada bijian koko yang dituai dari Afrika.

Ketua Kategori (Ais Krim) Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd Shawn Tan berkata, coklat Tanzania adalah sejenis coklat eksotik yang berasal dari negara terbabit yang terkenal dengan coklat gelap yang memberikan rasa coklat yang kuat dan elegan bersama sedikit rasa pahit dan kandungan asid yang rendah.

“Ada yang berpendapat ia kompleks tetapi seimbang dengan rasa menarik. Seperti yang diketahui, coklat Belgian antara coklat terbaik, dicipta khusus untuk kerabat diraja dan bangsawan. Keunikan coklat ini dizahirkan melalui pilihan bahan berkualiti tinggi, teknik pemprosesan yang eksklusif serta kawalan kualiti yang ketat,” katanya.

Isadora menyediakan dua hidangan istimewa yang menggabungkan keunikan dan kemewahan rasa coklat Belgian dan coklat Tanzania dengan sentuhan rasa tersendiri menggunakan bahan seperti buah delima dan espresso.

Kombinasi keunikan rasa Coklat Belgian dan delima menyerlahkan personaliti yang ceria, mesra dan menarik manakala nuansa kombinasi rasa espresso dan coklat Tanzania pula menyerlahkan personaliti individu penuh keyakinan, elegan dan sofistikated.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 4:57 AM