MUSTAPA Mohamed
MUSTAPA Mohamed
Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Malaysia masih terbuka kepada sebarang cadangan yang dikemukakan negara ahli dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum negara menetapkan pendirian akhir berhubung perjanjian terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara sedang menilai pilihan yang ditawarkan melalui perjanjian itu yang kini masih berada di peringkat rundingan.

“Tiada sebarang keputusan ditetapkan sehingga kini di mana siri rundingan TPPA masih diteruskan dan ia bakal dimuktamadkan bersempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November ini di Manila,” katanya selepas pelancaran Sidang Kemuncak Ekonomi Kebangsaan, di sini, semalam.

Siri rundingan TPPA yang disertai 11 negara termasuk Malaysia kini memasuki tahun kelima dan ia terjejas ekoran keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menarik diri daripada rundingan terbabit pada awal tahun ini.

Beliau berkata, Malaysia kini fokus kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijangka mampu dimuktamadkan menjelang awal tahun ini.

Menurutnya, 16 negara yang menyertai siri rundingan RCEP sudah melakukan beberapa pertemuan sebelum ini di mana beberapa perkara bagi memuktamadkan perjanjian ini sudah dilakukan.

“Semua negara ini termasuk Malaysia akan bertemu lagi di Hyderabad, Pakistan pada minggu depan bagi memperincikan lagi semua aspek berkaitan RCEP ini,” katanya.

RCEP dianggotai 16 negara termasuk 10 negara ASEAN dan enam negara yang memiliki perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan ASEAN seperti Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Pada masa sama, Mustapa berkata, rantau ASEAN tetap akan menjadi fokus utama kepada negara kerana ia memberi banyak manfaat kepada semua negara anggota melalui ekonomi, politik dan sosio budaya yang hampir sama.

Menurutnya, negara perlu terus memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau kerana ia adalah tempat bagi masyarakat muda, populasi umur pekerja terbesar dan kelas pertengahan yang berkembang.

“Kami kini komited meliberalisasikan perdagangan dan persekitaran pelaburan untuk masa depan dengan cara menyelesaikan perkara berkaitan pendekatan tiada tarif (NTM) dan undang-undang pelaburan di peringkat serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 3:43 AM