COSTA (tengah) giat berlatih bersama rakan sepasukan.
COSTA (tengah) giat berlatih bersama rakan sepasukan.
AFP

Gelsenkirchen: Jose Mourinho mahu menjadi antara pengendali yang berjaya menjulang Chelsea ke saingan final Liga Juara-Juara dan pertemuan dengan Schalke 04 yang dibimbing Roberto Di Matteo awal pagi esok bakal menjadi penanda aras buatnya.

Kemenangan akan mengesahkan Chelsea di peringkat kalah mati tetapi tumpuan kini lebih terarah kepada pasukan tuan rumah.

Mourinho pernah menjulang Liga Juara-Juara bersama Inter Milan pada 2010 dan Porto pada 2004 tetapi gelaran itu masih belum dapat digenggamnya sepanjang dua kali membimbing kelab Stamford Bridge.

Chelsea tidak tewas sepanjang 12 aksi Liga Perdana Inggeris dan ia adalah rekod kelab. Kemenangan terbaru mereka hadir Sabtu lalu apabila mengatasi West Bromwich Albion 2-0 hasil jaringan Diego Costa dan Eden Hazard.

Chelsea berdepan Schalke di Gelsenkirchen selaku pendahulu Kumpulan G, tiga mata mengatasi kelab Jerman berkenaan tetapi memiliki perbezaan jaringan tinggi.

Di Matteo menang semua empat perlawanan di tempat sendiri sejak mengambil alih Schalke bulan lalu dan ia adalah tugas pertamanya sejak dipecat Chelsea selepas enam bulan membantu mereka menjulang Liga Juara-Juara 2012.

Mourinho enggan mengulas mengenai fakta yang menyebut beliau akan ‘bertarung’ dengan satu-satunya jurulatih yang membawa pulang Liga Juara-Juara ke Stamford Bridge dan perlawanan awal pagi esok adalah antara Chelsea dengan Schalke, bukannya antara beliau dengan Di Matteo.

“Saya tidak menentangnya,” kata Mourinho.

“Jika saya bermain bola sepak menentangnya, sudah tentu beliau menang sebab saya tidak cukup bagus. Beliau juga lebih cergas berbanding saya.

“Ini adalah pertemuan antara Chelsea dengan Schalke, bukan antara saya dengan Di Matteo.”

Schalke beroleh satu mata di Stamford Bridge, September lalu sebelum Di Matteo mengambil alih pasukan. Ketika itu, jaringan awal Cesc Fabregas berjaya disamakan Klaas-Jan Huntelaar pada babak kedua.

Mourinho berkata, mereka mahu menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara dan mahu layak ke peringkat kalah mati secepat mungkin.

“Tidak sukar untuk menganalisa kumpulan kami. Kami boleh menamatkan saingan di kedudukan teratas, kedua atau ketiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:07 AM