Berlin: Schalke 04 berharap corak permainan lebih berdisiplin diterapkan jurulatih baru, Robert Di Matteo (gambar) akan membantu mereka mengalahkan Sporting Lisbon awal pagi esok sekali gus merekod kemenangan pertama di Liga Juara-Juara.

Pengendali dari Itali Di Matteo yang menggantikan Jens Keller menikmati permulaan baik bersama Schalke dengan kemenangan 2-0 ke atas Hertha Berlin, Sabtu lalu serta rekod tanpa bolos pertama dalam liga musim ini.

Bekas pengurus Chelsea yang memenangi Liga Juara-Juara ketika menjadi pengendali sementara pada 2012 mesti segera melakukan impak dalam kempen Eropah itu selepas pasukannya sekadar seri dalam dua perlawanan Kumpulan G menentang Chelsea dan Maribor.

“Kemenangan ini memberi petanda positif serta kami juga tidak dibolosi dalam perlawanan ini,” kata Di Matteo selepas menyaksikan anak buahnya mencatat kemenangan untuk melonjakkan mereka ke tangga kelapan Bundesliga selepas prestasi turun naik di awal musim.

“Pertahanan kami bermain dengan baik dan permainan lebih tersusun. Kami perlu lebih menguasai bola dan tidak memberi banyak ruang kepada pasukan lawan. Tapi, kami tidak boleh mengubah semuanya dalam sekelip mata.”

Schalke tampak lebih tajam di bahagian serangan dengan pemain tengah, Julian Draxler dan penyerang Belanda, Klaas-Jan Huntelaar mula menemui sentuhan.

Di Matteo yang mendapat tugasan pertama selepas dipecat Chelsea pada penghujung 2012 pastinya berharap penyerangnya terus meledak di peringkat Eropah selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan kumpulan musim ini.

“Fokus kami kini kepada Sporting dan menang perlawanan Liga Juara-Juara,” kata Di Matteo.

Di Matteo juga boleh mendapatkan khidmat kapten Benedikt Hoewedes apabila pertahanan Jerman itu kembali beraksi menentang Herta selepas berehat beberapa minggu akibat kecederaan pinggul.

Pertahanan Jan Kirchhoff juga kembali beraksi dengan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Hertha iaitu aksi pertamanya sejak mengalami kecederaan lutut pada Ogos lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:06 AM