Afiq Hanif


Menjelang penghujung tahun 2016, telefon pintar tetap relevan dengan menjadi platform terbaik untuk mendapatkan apa saja maklumat.

Namun, apalah sangat telefon pintar tanpa aplikasi hebat di dalamnya yang menjadikannya meriah. Telefon pintar jenis Android pula menguasai pasaran terutama di negara ini.

Google menyenaraikan aplikasi popular pada platform Android yang menjadi pilihan pengguna untuk memindah turunnya daripada Google Play.

Berdasarkan senarai itu, beberapa aplikasi yang menjadi trend pada 2016 di Malaysia termasuk:

1. Google Duo

Aplikasi yang membolehkan pengguna membuat panggilan video kepada pengguna Google lain tanpa bayaran selain data.

2. MSQRD

MSQRD menjadi trend dalam kalangan masyarakat apabila ia menukarkan wajah ‘selfie’ kepada topeng yang melucukan.

3. Camera360 - Photo Editor

Aplikasi yang menyunting foto ini menjadikan gambar anda lebih menawan dengan beberapa ciri seperti menukar wajah kepada lakaran kartun dan sebagainya.

4. Keyboard

Memaparkan puluhan emoji yang membolehkan penggunanya menghantar mesej dengan GIF dan emotikon.

5. 30 Day Fit Challenge Workout

Aplikasi kecergasan yang memberi tunjuk ajar kepada penggunanya direka jurulatih profesional dalam bidang kesihatan.

Aplikasi Tempatan Paling Popular 2016

1. Grab - Aplikasi perkongsian kenderaan dan teksi yang dulunya dikenali sebagai MyTeksi ini mendapat permintaan hangat pengguna.

2. Mudah.my - Platform membeli-belah kategori pengguna kepada pengguna yang popular di negara ini sesuai bagi menjual dan membeli barang.

3. imSold - Sell and Buy - Aplikasi menjual barang seperti ‘pre-love’ yang fleksibel dan membantu usahawan.

4. Malaysia Airlines - Siapa tidak kenal pada MAS yang mempunyai aplikasi membolehkan pengguna mendaftar masuk, membeli tiket dan menyemak jadual penerbangan.

5. MyDigi - Aplikasi yang dihasilkan syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications Sdn Bhd memberi kemudahan kepada pengguna untuk menyemak baki bil atau melihat data digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 11:07 AM